KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan terhadap perkhidmatan 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya menjalankan penyiasatan secara profesional berhubung pemberian tender bernilai RM4 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.
Beliau menegaskan bahawa SPRM akan mematuhi semua proses sewajarnya dalam memastikan ketelusan siasatan, dan menyeru agar semua pihak mengelakkan daripada membuat spekulasi.
"Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Azam berkata masih terlalu awal untuk SPRM membuat sebarang kesimpulan memandangkan siasatan melibatkan pertikaian teknikal berkaitan pelaksanaan projek antara KPM dan YTL.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa SPRM akan berusaha mempercepatkan siasatan sebaik mungkin.
Semalam, YTL dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa tender 1BestariNet diberikan kepada syarikat itu berdasarkan bidaannya yang memenuhi keperluan teknikal dan lebih efektif dari segi kos berbanding 18 pembida lain, sekali gus menunjukkan keupayaan dan merit syarikat tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial