KOTA KINABALU, 31 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memastikan pembinaan premis Tamu Desa yang dilaksanakan di Sabah dan Sarawak memberi manfaat kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil.
Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata banyak permohonan diterima daripada wakil rakyat di Sabah dan Sarawak serta persatuan penjaja dan peniaga kecil yang meminta disediakan kemudahan lebih baik untuk penjaja dan peniaga kecil di kawasan mereka.
“Diharapkan pada tahun hadapan kita dapat meneruskan pelaksanaan premis Tamu Desa seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengambil kira permintaan kita dan seterusnya membentangkan sejumlah peruntukan yang boleh digunakan untuk meneruskan pelaksanaan premis Tamu Desa pada tahun depan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat berkata RM100 juta disediakan bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di bawah pihak berkuasa tempatan seluruh negara, menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak, serta menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ewon berkata Fasa 1 pembinaan baharu dan naik taraf 36 projek Tamu Desa di seluruh Sabah telah siap bulan ini selain KUSKOP juga telah menyerahkan Surat Kuasa Pelaksanaan kepada pegawai daerah dan penolong pegawai daerah untuk pembinaan 18 buah projek Tamu Desa di negeri itu.
Beliau berkata beberapa wakil rakyat dari Semenanjung juga telah menyatakan minat kepada KUSKOP untuk membawa program Tamu Desa ke kawasan mereka bagi membantu penduduk di luar bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial