WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rel Pan Asia : Menghubungkan jiwa dan harapan Asia Tenggara

31/10/2024 07:31 PM

Oleh : Amirul Sajadi

Dalam menelusuri liku kehidupan, sesekali perjalanan membawa kali kita menemui jiwa yang mudah menyentuh hati, meski awalnya asing belaka. 

Tanpa sedar, seolah takdir merajut tautan tak terlihat, begitulah penulis rasakan saat pertama kali berkenalan dengan rakan dari Laos Keutkhuanchai Malychansy, yang lebih mesra disapa sebagai Phong yang ditemui ketika mengikuti sebuah program kewartawanan di China pada 2019. 

Masih segar dalam ingatan penulis, keakraban kami berkongsi berbagai cerita antaranya tentang keindahan tanah air masing-masing, dari kuil kuno di Laos hingga ke pantai dan hutan di Malaysia, dan betapa menariknya jika ada cara yang lebih mudah untuk saling berkunjung tanpa perlu melalui penerbangan yang mahal dan memakan masa. 

Tidak pernah kami menyangka pebualan itu seakan memberi harapan baharu bahawa laluan Rel Pan Asia, adalah jawapan dalam menyambungkan titik persahabatan kami yang merentas sempadan itu.

Jajaran Rel Pan Asia, yang bakal siap tidak lama lagi, bagaikan ‘urat nadi’ yang menghubungkan rantau Asia Tenggara, dari Kunming di China hingga ke Singapura. 

SIMBOL HARAPAN BARU

Kereta api yang bakal melintasi negara ASEAN seperti China, Thailand, Malaysia, dan tentunya Laos, membuka ruang kepada hubungan yang lebih erat antara rakyat biasa seperti penulis dan Phong. Kini, tiada lagi sempadan atau jarak jauh yang dapat menghalang kami untuk berjumpa dan melawat antara satu sama lain. 

Jajaran Rel Pan Asia itu merupakan sebahagian Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang diperkenalkan pada tahun 2013 oleh Presiden China Xi Jinping dengan jarak hampir 2,000 kilometer (km). Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Malaysia menjadi antara jajaran terpanjang dengn jarak 665km.

Rel Pan Asia bukan sekadar jalur besi panjang tetapi ia adalah simbol harapan. Dari Kuala Lumpur hingga Vientiane, dan setiap bandar yang disinggahi akan merasa kesannya. Infrastruktur ini bukan sahaja menjanjikan perjalanan yang lebih singkat, tetapi juga jalinan persahabatan yang lebih erat. 

Dengan pembangunan ini, perjalanan antara dua negara yang berbeza bahasa dan budaya menjadi begitu mudah, mengubah Asia Tenggara menjadi sebuah rantau yang bersatu di bawah satu jaringan pengangkutan darat yang berkesinambungan tanpa perlu hanya berbual melalui skrin telefon sahaja.

JANA EKONOMI ASEAN

Presiden Dewan Perniagaan One Belt One Road (OBORCC) Datuk Seri Tan Thian Lai ketika ditemui Bernama berkata penggunaan laluan Rel Pan Asia ini bukan sahaja meningkatkan jumlah pelancong, tetapi ia bakal menjadi pengangkutan utama perdagangan antarabangsa di Asia. 

“Melihat perspektif di Malaysia, dengan adanya laluan ECRL yang menyambungkan Pantai Timur dan Pantai Barat Malaysia serta terus ke Thailand dan Singapura, jaringan ini berfungsi sebagai “jambatan darat” yang bukan hanya membawa penumpang, tetapi juga memainkan peranan besar dalam pengangkutan kargo dari China hingga ke Asia Tenggara,” katanya.

ECRL yang memulakan pembinaannya pada 2018 dengan kos sebanyak RM50.27 bilion, dijangka menjadi pemangkin utama kepada sistem pengangkutan di Pantai Timur.

Dengan ECRL, perjalanan dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak akan hanya memakan masa empat jam, jauh lebih pantas berbanding tujuh jam jika menggunakan jalan raya, atau lebih daripada 12 jam semasa musim perayaan.

Tan berpendapat jajaran Rel Pan Asia akan menjadi satu bentuk pengiktirafan buat negara ASEAN yang kini berperanan penting dalam peta perdagangan antarabangsa. 

“Dengan adanya rel ini, setiap negara ASEAN mempunyai peluang yang sama untuk mengembangkan pasaran domestik dan ekopelancongan serta memperkenalkan produk tempatan ke arena antarabangsa,” ujarnya.

ASEAN 2025: MALAYSIA MAMPU TERAJUI MASA DEPAN ASEAN

Seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Kuala Lumpur berada di kedudukan strategik untuk membina kerjasama ekonomi yang lebih utuh di rantau ini, terutamanya melalui jaringan Rel Pan Asia. kata, Pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan

Beliau berkata Kepengerusian Malaysia ini adalah peluang untuk memperkukuhkan daya saing ekonomi ASEAN, memperluaskan kerjasama perdagangan dan memperjuangkan kepentingan rantau di arena antarabangsa.

“Projek rel ini adalah antara inisiatif utama yang boleh memajukan rantau ASEAN menjadi kuasa ekonomi yang kukuh, menyaingi kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Dengan kehadiran negara ASEAN dalam anggota BRICS, jaringan Rel Pan Asia ini boleh menjadi landasan kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.

PERSAHABATAN YANG ABADI

Kisah persahabatan penulis dan Phong hanyalah satu dari sekelumit kisah yang akan terjalin melalui Rel Pan Asia. Hubungan antara negara ASEAN kini lebih kukuh berbanding sebelumnya, disatukan bukan hanya oleh ekonomi tetapi juga oleh ikatan persahabatan dan perpaduan. 


Dengan adanya jaringan rel ini, penulis yakin hubungan persahabatan yang terjalin di seluruh Asia Tenggara akan terus berkembang, melangkaui sempadan, bangsa, dan agama.

Rel Pan Asia, dalam erti kata sebenar, adalah laluan ke arah kejayaan ASEAN yang akan dikenang sebagai kuasa dunia yang kukuh dan harmoni. 

Ia adalah simbol bukan hanya sekadar kebangkitan ekonomi Asia Tenggara tetapi juga lambang kesepakatan dan persahabatan yang terbina antara penulis dan Phong serta berjuta-juta lagi penduduk ASEAN yang kini berpeluang melangkah ke arah masa depan yang cerah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan