PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan Operasi Khas Motosikal 2024 di seluruh negara selama dua bulan bermula hari ini, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.
Beliau berkata operasi hingga 31 Dis itu, memfokuskan kepada lapan kesalahan utama antaranya tiada lesen memandu, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan melanggar isyarat lalu lintas.
“Empat lagi kesalahan tumpuan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya ialah ubah suai kenderaan, tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan teknikal lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aedy Fadly berkata pelaksanaan operasi berkenaan susulan statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan maut secara bulanan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Beliau berkata rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 70 peratus kadar kemalangan dengan kematian melibatkan motosikal atau 1,908 kes dilaporkan secara bulanan.
“Strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang serta pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan,” katanya.
Aedy Fadly berkata penunggang atau pembonceng motosikal dimohon untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan serta bertoleransi bersama pengguna yang lain, demi keselamatan ketika di jalan raya.
“Usaha ini juga untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.
“JPJ turut menyeru kepada orang awam untuk melaporkan aduan secara terus menerusi Aplikasi MyJPJ : e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial