KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Malaysia telah menyediakan satu draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang antara lain mencadangkan agar Israel disingkir sebagai anggota pertubuhan itu sekiranya berlaku perlanggaran undang-undang, hukum dan keputusan dalam isu membabitkan Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penerangan di Dewan Rakyat hari ini berkata draf resolusi itu sedang dalam proses rundingan dan dijangka akan dibentangkan di Perhimpunan Agung PBB untuk kelulusan dalam masa terdekat.
“Pada 31 Okt lepas Malaysia telah menyertai Kumpulan Teras (Core Group) bagi penyediaan satu draf resolusi Perhimpunan Agung PBB memohon Pendapat Nasihat (Advisory Opinion) Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB,” katanya.
Ia juga termasuk agensi-agensi di bawah PBB, organisasi-organisasi antarabangsa dan negara ketiga di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT), yang dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan Palestin untuk manfaat orang awam Palestin di wilayah itu.
Beliau berkata setelah diluluskan kelak, resolusi itu dijangka menjadi landasan perundangan bagi membolehkan United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA) terus memberikan khidmat asas seperti pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, yang telah memberikan faedah kepada lebih enam juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Lubnan dan Syria.
Anwar berkata selama 75 tahun, UNRWA merupakan tali hayat utama penyaluran bantuan antarabangsa kepada rakyat Palestin dan peranan penting UNRWA di Palestin juga disokong penuh Malaysia dengan bantuan, kerjasama dan penyelarasan akan terus ditingkatkan.
“Sokongan berterusan Malaysia terhadap UNRWA ini agak kritikal dan kita juga mendapat penghargaan daripada Pesuruhjaya Agung UNRWA Philippe Lazzarini yang dizahirkan kepada Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dalam sidang PBB lepas dan memohon kerjasama ini dapat ditingkatkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata sudah setahun Israel melaksanakan genosid di bumi Gaza dan sehingga 1 Nov lepas, konflik di wilayah itu telah mengorbankan 43,204 rakyat Palestin, termasuk 16,500 kanak-kanak.
“Seramai 101,641 rakyat Palestin pula dilaporkan cedera, manakala 11,000 orang lagi dilaporkan hilang. Secara purata 118 rakyat Palestin terkorban dan 277 lagi cedera setiap hari sejak Oktober 2023.
“Situasi di Gaza malangnya terus meruncing dan seperti mana saya tegaskan kerana keganasan itu tanpa henti with impunity, dengan izin, dan dengan dukungan langsung dan tidak langsung dari negara-negara sekutu Israel,” katanya.
Sementara itu menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) berhubung sokongan kepada UNRWA, Anwar berkata Malaysia akan terus menyatakan sokongan kepada agensi berkenaan termasuk dalam aspek bantuan tunai.
“Dukungan kemanusiaan dari segi bantuan wang tunai itu, lebih RM100 juta telah dimaklumkan sebelum ini, atau usaha Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin), Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan), kita telah bawa pesakit-pesakit parah, anak-anak terutamanya dari Gaza untuk dirawat di hospital tentera dan ini akan diteruskan.
“Khusus untuk UNRWA setakat ini dana yang telah diperuntukkan dan diserahkan kepada UNRWA adalah RM25 juta dan kita sedang berbincang bawah Kementerian Luar dan UNRWA untuk melihat keperluan menyegerakan,” katanya.
Berhubung misi kemanusiaan seterusnya kepada rakyat Palestin, Perdana Menteri berkata negara terpaksa bergantung dengan kerajaan Mesir, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada penduduk di kawasan itu.
“Saya akan berunding dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi pada 10 Nov ini bagi mengucapkan terima kasih kerana Mesir beri laluan khas kepada usaha bantuan kemanusiaan Malaysia ke Rafah, tapi sekarang dihalang Israel,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bebas dan merdeka, berdaulat serta mempunyai prinsip dan pendirian akan terus menegakkan keadilan bagi rakyat Palestin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial