WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ahli Radiologi Petugas Barisan Hadapan Pengesanan Awal Penyakit

05/11/2024 08:05 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Radiologi, yang sering dianggap sebagai "penjaga senyap" dalam perubatan moden, memainkan peranan penting di sebalik tabir dalam setiap aspek penjagaan pesakit, daripada pengesanan awal penyakit, diagnosis sehingga pelan rawatan dan pengurusan berterusan.

Pakar Perunding Radiologi di Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway Dr Adam Pany Abdullah berkata ahli radiologi ialah pakar perubatan yang dilatih untuk memeriksa struktur dalaman badan menggunakan teknik pengimejan seperti sinar-X, ultrabunyi, imbasan CT, MRI, dan imbasan nuklear.

“Kaedah-kaedah ini membolehkan ahli radiologi mengesan keabnormalan dan memberikan pandangan yang tidak dapat dilihat melalui alat diagnostik lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata radiologi bukan hanya mengenai mentafsir imej, tetapi ia juga bertindak sebagai panduan untuk seluruh pasukan perubatan, membantu mereka dalam memilih rawatan yang paling berkesan untuk pesakit.

“Kerja kami bermula dengan diagnosis awal, terutamanya dalam mengesan kanser dan mengenal pasti jangkitan sebelum ia mencapai ke tahap serius. Pesakit sering berasa cemas apabila mereka tidak benar-benar memahami keadaan mereka.

“Kami mendapati pesakit lebih terbuka untuk menerima rawatan apabila kami menunjukkan keputusan imbasan dan menjelaskan mengenai penemuan berkenaan,” katanya.

Dr Adam Pany berkata memberi gambaran tentang penyakit dengan ukuran yang tepat membantu pesakit memahami keadaan mereka dengan lebih baik sekali gus membina kepercayaan terhadap pelan rawatan yang dicadangkan manakala imbasan susulan memberikan keyakinan dengan menunjukkan sejauh mana proses pemulihan mereka.

Beliau berkata teknologi radiologi terkini adalah penting sepanjang proses penjagaan kesihatan daripada pengesanan awal sehingga intervensi dan pemantauan berterusan.

“Matlamat utama radiologi ialah pencegahan penyakit, membolehkan profesional penjagaan kesihatan mengesan keadaan pesakit sebelum penyakit mereka merebak atau menjadi lebih buruk.

“Pengesanan awal membolehkan pesakit diberi rawatan kurang invasif, seperti ubat atau fisioterapi, yang boleh mengelakkan keperluan melakukan pembedahan besar,” katanya.

Dr Adam Pany berkata sejak satu dekad lepas, radiologi telah mengalami kemajuan teknologi yang pesat, terutamanya dalam resolusi imej dan pengintegrasian kecerdasan buatan (AI).

“Dengan algoritma berkuasa AI yang menganalisis data pengimejan, kami kini mencapai ketepatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, mengesan butiran pada tahap milimeter dengan imbasan MRI dan CT, berbanding dengan resolusi sentimeter yang menjadi piawaian sedekad lepas.

“Kemajuan dalam radiologi membolehkan kami mengumpul maklumat penting tentang kanser, seperti mengenal pasti jenis kanser, menentukan lokasi dan saiz sebenar tumor dengan tepat, memutuskan sama ada pembedahan diperlukan, dan merancang pelan rawatan yang paling berkesan,” katanya.

Dr Adam Pany ialah seorang ahli neuroradiologi yang pakar dalam pengimejan sistem saraf pusat merangkumi otak, saraf tunjang dan saraf, juga melakukan prosedur intervensi, khususnya untuk pesakit strok.

Beliau berkata di SMC, pesakit akan dirawat oleh satu pasukan, termasuk seorang ahli radiologi yang bekerjasama dengan pakar untuk menyemak keputusan imbasan, membincangkan diagnosis dan merancang rawatan.

“Jabatan Radiologi di SMC menyediakan perkhidmatan klinikal dalam radiologi diagnostik, radiologi intervensi, ultrabunyi, dan pengimejan keratan rentas dengan peralatan dan kemudahan terkini, termasuk pengimbas CT Digital, dan empat unit MRI 3 Tesla yang canggih,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan