WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KUSKOP Cadang Anjur Karnival Usahawan Wanita Sempena Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025

08/11/2024 02:58 PM

PUTRAJAYA, 8 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencadangkan agar satu karnival usahawan wanita diadakan sewaktu kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Seri R. Ramanan.

 Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan secara lanjut pada peringkat KUSKOP sebelum diusulkan kepada kementerian lain bagi tujuan kerjasama strategik.

“ … tema ASEAN 2025 ialah Inclusivity and Sustainability (Keterangkuman dan Kemampanan), jadi kita nak ambil inspirasi daripada tema berkenaan untuk melibatkan golongan usahawan wanita melalui penganjuran karnival.

“Ia satu peluang berharga memandangkan Malaysia akan menyaksikan kemasukan delegasi luar negara dan melalui penganjuran karnival, mereka boleh mendapatkan produk kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Wanita Malaysia (KUWM) 2024 di sini hari ini.

Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada 11 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul kayu Pengerusi ASEAN daripada rakan sejawatnya dari Laos, Sonexay Siphandone.

KUWM 2024 yang bertemakan "Usahawan Wanita Pemacu Ekonomi Negara" bertujuan mencetuskan gelombang perubahan dalam kalangan komuniti terutama golongan wanita untuk mendalami ilmu dan potensi perniagaan mereka.

Ramanan berkata karnival yang diadakan di IOI Grand Exhibition and Convention Centre, Putrajaya bermula hari ini hingga 10 Nov itu turut dijangka menjana nilai jualan sebanyak RM2 juta menerusi penglibatan 100 reruai antaranya produk kecantikan, makanan dan fesyen.

Karnival berkenaan juga akan menyaksikan pelbagai pengisian menarik antaranya bengkel dan forum keusahawanan, sesi santai bersama selebriti usahawan dan elemen hiburan.

Para usahawan dapat meneroka peluang kerjasama dan jaringan menerusi reruai MyMall dan sesi taklimat keusahawanan, iaitu platform e-dagang diterajui KUSKOP yang menawarkan akses kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana untuk menyertai ekosistem keusahawanan digital yang lebih luas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan