WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Jambatan Batang Rajang, Jalan Pasi–Sibu/Tanjung Manis Dijangka Siap Mac 2025

08/11/2024 04:23 PM

SARIKEI, 8 Nov (Bernama) -- Projek Jambatan Batang Rajang, dan Jalan Pasi–Sibu/Tanjung Manis sepanjang 17 kilometer (km) dijangka siap menjelang Mac 2025.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek bernilai RM320 juta yang merupakan sebahagian daripada projek jalan pesisir negeri, akan mengurangkan jarak dan masa perjalanan dengan ketara.

Sebelum ini penduduk dari Sarikei perlu melalui Sibu untuk ke Tanjung Manis yang memakan masa perjalanan selama dua jam 30 minit.

"Apabila siap kelak, tempoh perjalanan akan dikurangkan kepada hanya kira-kira 55 minit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis peletakan bongkah terakhir Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2 km di sini hari ini.

Uggah berkata jalan itu ialah sebahagian daripada projek jalan pesisir sepanjang 900 km dan jalan utama kedua sejauh 300 km yang sedang dibina oleh kerajaan negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Beliau berkata sepanjang laluan ini, kerajaan sedang membina 14 jambatan serta satu jejambat dan kemungkinan struktur lain bernilai RM11 bilion yang dibiayai dana negeri.

Uggah berkata semua projek yang dijalankan oleh kerajaan negeri mengikut jadual dengan langkah ketat diambil, seperti menamatkan kontrak kontraktor sekiranya projek mengalami kelewatan.

Mengambil contoh projek Jambatan Limbang, beliau berkata kerajaan menukar kontrak kepada subkontraktor apabila kontraktor utama gagal menyiapkan projek sekali gus dapat menjimatkan masa untuk menyiapkan projek itu.

Uggah berkata kerajaan negeri juga berusaha menyelesaikan projek Jambatan Batang Lupar, jambatan sungai terpanjang di Malaysia sejauh 4.8 km, pada Disember 2025.

"Saya gembira melihat jalan-jalan di seluruh Sarawak membuka peluang baharu, kawasan baharu dan harapan baharu kepada penduduk … ia benar-benar bakal mengubah komuniti pesisir di Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan