KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Maxis Bhd meningkat 27.5 peratus kepada RM366 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 (suku ketiga 2024) daripada RM287 juta dalam tempoh sama tahun lepas, didorong oleh pendapatan perkhidmatan yang meningkat dan pengurusan kos yang berhemat.
Syarikat telekomunikasi itu berkata pendapatan meningkat 5.5 peratus kepada RM2.58 bilion pada suku ketiga 2024 berbanding RM2.44 bilion sebelumnya, disumbangkan oleh perolehan perkhidmatan sebanyak 3.2 peratus dan perolehan peranti sebanyak 22.2 peratus.
Tahun ke tahun, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pada suku ketiga 2024 meningkat RM119 juta, dibantu oleh peningkatan jumlah hasil bersih daripada kos berkaitan, termasuk pengurangan kos kakitangan ketika suku ketiga 2023 mencatatkan kos rasionalisasi tenaga kerja sekali sahaja.
“Maxis sangat berhati-hati dengan pelaburan perbelanjaan modalnya pada suku ketiga 2024, dengan mengurangkan perbelanjaan berbanding suku ketiga 2023.
“Aliran tunai operasi terbuka bagi suku tahun terbabit lebih rendah berikutan bayaran cukai yang lebih tinggi,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024, keuntungan bersih syarikat itu melonjak kepada RM1.07 bilion daripada RM937 juta pada tahun sebelumnya manakala pendapatan adalah lebih tinggi iaitu pada RM7.76 bilion berbanding RM7.43 bilion sebelumnya.
Pada masa akan datang, syarikat itu berkata ia akan menilai pilihan yang ada dengan berunding dengan semua pihak berkepentingan berikutan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai U Mobile Sdn Bhd yang dipilih sebagai pengendali rangkaian mudah alih untuk membina dan mengendalikan rangkaian kedua 5G negara.
“Kami akan terus menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggan menerusi perjanjian akses sedia ada bersama Digital Nasional Bhd,” katanya.
Maxis mengumumkan dividen dikecualikan cukai interim satu peringkat ketiga sebanyak empat sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 yang dibayar pada 23 Dis 2024. Tarikh akhir adalah pada 22 Nov 2025 dengan tarikh kelayakan pada 25 Nov 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial