WILAYAH - UTARA > BERITA

PUSPEN Karangan Beroperasi Semula Selepas Dinaik Taraf

10/11/2024 09:53 PM

ALOR SETAR, 10 Nov (Bernama) -- Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan di Kulim yang ditutup sejak 1 Dis 2022 akan beroperasi semula selepas dinaik taraf.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam kenyataan memaklumkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menyempurnakan majlis penyerahan dan perasmian projek pembinaan satu blok sekolah serta menaik taraf PUSPEN Karangan hari ini.

"PUSPEN Karangan kini mempunyai fasiliti yang terbaik untuk menjalankan Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) kepada klien di bawah umur 18 tahun yang mula diperkenalkan AADK sejak 2015.

"Objektif pelaksanaan PAPK ini adalah untuk memberikan peluang kepada klien mengikuti semula sesi pembelajaran dan persekolahan di fasiliti AADK serta menyediakan perkhidmatan rawatan dan pemulihan dengan kebersamaan sokongan akademik melalui konsep in situ,” menurut kenyataan itu.

AADK memaklumkan usaha itu juga bertujuan meningkatkan dan meraikan kepelbagaian kepakaran melalui kerjasama pintar dua hala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta memperkenalkan sistem sekolah integriti di AADK melalui kepakaran guru dan KPM.

"Pada 2015, seramai 15 klien berjaya didaftarkan serta menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan statistik menunjukan terdapat pertambahan bilangan calon setiap tahun iaitu seramai 28 calon (2016); 34 calon (2017); 38 calon (2018); 40 calon (2019); 34 calon (2020) dan 25 calon (2021).

"Dengan adanya kemudahan ini, AADK akan menempatkan semua klien yang sedang mengikuti PAPK bagi yang berada di Semenanjung serta kemudahan ini mampu menampung seramai 100 klien dalam satu-satu masa dan sehingga kini seramai 25 klien sedang mengikuti program itu," katanya.

Menurut AADK, pencapaian yang ditunjukkan klien dalam SPM membolehkan mereka layak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Klien yang terlibat dalam program ini bagi tahap SPM dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar sukarela terdiri pensyarah politeknik dan guru sekolah menengah yang mengajar berhampiran PUSPEN ini.

"Program PAPK juga telah diperluas dan tidak hanya tertumpu kepada persediaan pemeriksaan SPM sahaja, ia turut diperluas kepada pendidikan asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira memandangkan terdapat klien remaja yang berdepan masalah keciciran pendidikan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan