WILAYAH - UTARA > BERITA

SK Darulaman Height Harumkan Nama Malaysia Di WMSC 2024

11/11/2024 04:48 PM

JITRA, 11 Nov (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Height di sini berjaya mengharumkan nama negara selepas dinobatkan pasukan terbaik keseluruhan bagi kategori sains sekolah rendah pada Pertandingan Matematik & Sains Dunia (WMSC) 2024 di Bogor, Indonesia baru-baru ini.

Guru pengiring sekolah berkenaan Norlailawati Abd Razak berkata lebih manis apabila empat muridnya turut meraih tiga emas dan satu perak secara individu bagi kategori kuiz sains sekolah rendah yang disertai empat negara iaitu Bulgaria, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Beliau berkata Malaysia menghantar 24 peserta ke pertandingan berkenaan yang berlangsung dari 1 hingga 4 Nov lepas dengan lapan daripadanya berasal dari Kedah termasuk empat murid SK Darulaman Height.

“Ini merupakan penyertaan sulung kami dalam WMSC dan selain pencapaian cemerlang empat murid sekolah ini, peserta Malaysia juga merangkul pelbagai kejayaan lain,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah kepada murid berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata murid SK Darulaman Height yang merangkul emas ialah Airell Qhaliff Zubir, Eishan Elias Rosidi dan Mohamad Wafiy Mohamad Shahizan yang kesemuanya berusia 12 tahun, manakala Ahmad Hafiy Ukashah Khairul Faizi, 11, meraih perak bagi kategori sama.

“Menariknya, murid-murid kami ibarat duta kecil negara apabila turut menjayakan persembahan silat yang berjaya mendapat tepukan gemuruh serta perhatian juri,” katanya.

Seorang lagi guru pengiring Faizah Romli berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran, namun para peserta berjaya mengatasinya, terutama soalan-soalan berdasarkan silibus sekolah menengah.

“Mereka tetap boleh melakukannya, termasuklah persembahan kebudayaan oleh keempat-empat murid ini yang berjaya memberi impak dengan aksi silat bertenaga lengkap dengan tengkolok,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Darulaman Height Mafezzul Mohamad berkata beliau berbangga dengan keupayaan anak-anak muridnya walaupun hanya membuat persiapan singkat sebelum ke Indonesia.

“Guru dan pelajar terlibat menunjukkan komitmen terbaik dengan menghasilkan keputusan cemerlang walaupun persiapan tidak sampai dua minggu. Saya amat berbangga dengan mereka dan kami merancang untuk memperkasakan lagi program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah ini.

“Kami juga mahu menerokai bidang robotik dan akan menyediakan pasukan untuk menyertai pertandingan melibatkan bidang itu, termasuk di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan