WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak Ditubuhkan Tahun Depan - Abang Johari

11/11/2024 06:40 PM

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Negeri (SAIC) pada tahun depan, yang merupakan langkah strategik untuk meletakkan negeri ini sebagai peneraju dalam inovasi berasaskan teknologi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan perkara ini ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata SAIC akan memberi tumpuan kepada kemajuan teknologi AI dalam sektor utama, termasuk penjagaan kesihatan, pertanian, pendidikan dan pembuatan.

"Pusat ini akan mempromosikan produktiviti, mendorong penciptaan pekerjaan bernilai tinggi, dan menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta. Melalui perkongsian dengan pemain tempatan dan antarabangsa, SAIC bertujuan untuk memacu inovasi termaju dan memperkukuh ekonomi Sarawak, dengan menjadi hab bagi penyelesaian AI dan teknologi," katanya.

Di bawah Belanjawan 2025, lebih RM900 juta akan diperuntukkan untuk transformasi ekonomi digital dan konektiviti negeri ini.

Ini termasuk RM20 juta untuk mempertingkatkan perkhidmatan e-Pentadbiran, RM25 juta untuk pengembangan platform pembayaran digital negeri, SPayGlobal, dan RM25 juta untuk fungsi peraturan digital yang sedang dijalankan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Selain itu, Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) akan menerima RM470 juta melalui pembiayaan alternatif untuk menyokong projek infrastruktur digital dan memajukan lagi agenda ekonomi digital negeri ini.

Projek SMART untuk Konektiviti Luar Bandar akan menerima peruntukan sebanyak RM397 juta bagi meneruskan pembinaan menara telekomunikasi di kawasan luar bandar, manakala RM73 juta akan diperuntukkan untuk pengembangan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (MySRBN).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan