WILAYAH - UTARA > BERITA

Dexcom Buka Kemudahan Pembuatan Di Pulau Pinang, Pelaburan RM2.83 Bilion

12/11/2024 05:55 PM

BATU KAWAN, 12 Nov (Bernama) -- Syarikat peranti perubatan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Dexcom Inc secara rasminya membuka kemudahan pembuatan baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang yang juga lokasi pembuatan di luar negara pertamanya di luar AS.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pelaburan strategik bernilai RM2.83 bilion itu akan menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan di negeri berkenaan, menyumbang kepada tenaga kerja yang dijangka memberi impak positif kepada kehidupan lebih tiga juta rakyat di seluruh dunia.

Dexcom yang ditubuhkan pada 1999 adalah peneraju global dalam teknologi pemantauan glukosa berterusan (CGM) bagi individu yang menghidap diabetes.

"Penubuhan kemudahan baharu ini memperlihatkan komitmen berterusan Dexcom untuk mengawal kesihatan melalui sistem CGM yang inovatif.

"Langkah ini turut memperteguh reputasi Pulau Pinang sebagai hab global bagi industri teknologi maju, memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pilihan untuk pembuatan berkualiti tinggi dan inovasi," katanya dalam ucapan perasmian pada majlis berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Datuk Aziz Bakar, CEO InvestPenang Datuk Loo Lee Lian dan Ketua Pegawai Operasi Dexcom Jake Leach.

Chow berkata Pulau Pinang berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab teknologi perubatan (medtech) di Asia Tenggara dengan memanfaatkan lebih 50 tahun kecemerlangan industri di negeri itu.

"Dengan menempatkan bilangan syarikat medtech terbesar di negara ini dan serantau, Pulau Pinang terus menjadi lokasi yang sangat menarik dengan ketersediaan infrastruktur dan ekosistem yang memenuhi keperluan industri medtech.

"Sepanjang lima tahun lepas (2019-2023), Pulau Pinang telah menarik pelaburan bernilai RM5.8 bilion dalam sektor peralatan saintifik dan pengukur, mewakili 45 peratus daripada jumlah pelaburan negara dalam sektor ini, melibatkan 33 projek dan menghasilkan kira-kira 4,630 peluang pekerjaan," katanya.

Dinamakan sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang mempunyai penumpuan yang tinggi daripada syarikat teknologi perubatan di Malaysia dan Asia Tenggara setakat ini.

Chow berkata Pulau Pinang mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara pada September, dengan 37.5 peratus bahagian atau RM46.5 bilion daripada jumlah perdagangan.

Sementara itu, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata operasi Dexcom di Malaysia menandakan detik penting dalam sektor peranti perubatan negara.

Beliau menekankan bahawa kemudahan terkini itu akan memacu kemajuan segmen “point-of-care” (penyediaan perkhidmatan perubatan atau diagnostik secara langsung di lokasi pesakit menerima rawatan) di Malaysia, yang akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memudahkan pemindahan teknologi.

"Projek ini selaras dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) terutama dalam memupuk kekompleksan ekonomi melalui inovasi dan membangunkan kumpulan bakat berkemahiran tinggi.

"MIDA yakin bahawa daya tahan rantaian bekalan negara akan terus memperkukuh trajektori pertumbuhan Dexcom di Malaysia dengan meningkatkan ekosistem pembekal tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan