PAPAR, 12 Nov (Bernama) -- Projek Loji Janakuasa 100MW oleh Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd bernilai RM700 juta mampu mengukuhkan lagi sumber dan bekalan elektrik, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji berkata projek berkenaan yang dilaksanakan untuk memastikan bekalan elektrik yang mencukupi bagi memenuhi keperluan industri dan masyarakat Sabah dijangka siap Mac 2026.
"Kira-kira 400 peluang pekerjaan untuk menyiapkan projek ini dan apabila siap kelak, sebanyak 60 hingga 70 pekerja yang diperlukan untuk mengoperasikan loji janakuasa berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Loji Janakuasa 100MW Kimanis Power (Dua) Sdn Bhd dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Kimanis Power Sdn Bhd di Stesen Janakuasa Kimanis dekat sini hari ini.
Beliau menekankan bekalan tenaga yang mencukupi dan mampan akan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sabah serta memperkukuh pembangunan sosio-ekonomi negeri.
Hajiji menyatakan kerajaan negeri sentiasa komited untuk terus memperkasakan pengurusan sumber dan pembangunan sektor tenaga di negeri ini menerusi Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
"SE-RAMP 2040 adalah satu langkah penting bagi Kerajaan Negeri untuk memastikan bekalan tenaga yang mampan, akses yang adil dan menyeluruh, serta kos yang mampu milik, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memberikan bekalan elektrik kepada seluruh rakyat Sabah," katanya.
Pada masa yang sama, Hajiji berkata menerusi kerjasama erat antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Petronas Gas Berhad, Kimanis Power berkembang sebagai Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan elektrik di Sabah.
Hajiji seterusnya berkata sektor tenaga merupakan pemacu penting dan antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Sabah sejak beberapa dekad yang lepas, justeru projek itu akan dapat memenuhi peningkatan permintaan tenaga di negeri ini.
Beliau berkata dengan Petronas sebagai rakan utama, ia terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh sosio-ekonomi negeri melalui pembangunan modal insan dan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri.
Tambah beliau, komitmen itu terserlah dalam usaha Petronas memajukan bakat tempatan dengan menyediakan peluang latihan, program peningkatan kemahiran dan pendidikan berterusan untuk anak-anak Sabah.
"Petronas juga menyokong ekonomi tempatan melalui pemindahan teknologi dan pemerkasaan vendor tempatan. Usaha bersepadu ini bukan sahaja memajukan industri minyak dan gas di Sabah, tetapi juga meningkatkan taraf hidup rakyat serta merangsang ekonomi negeri secara keseluruhan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial