KLANG, 12 Nov (Bernama) -- Pusat Borong GM Klang menyasarkan kehadiran enam juta yang berkunjung dan membeli-belah di pusat borong sehenti berkenaan sepanjang kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
Pengarah Urusan GM Klang Datuk Lim Seng Kok berkata pelbagai kempen termasuk menerusi media sosial telah dirangka, dan akan dilaksanakan mulai bulan ini bagi menarik lebih banyak pelancong dari dalam dan luar negara ke Selangor, sekali gus turut berkunjung ke GM Klang.
Beliau berkata pengiktirafan sebagai Pusat Borong Terbesar di Malaysia oleh The Malaysia Book of Records serta dilantik Duta Pelancongan Bandar Klang oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sejak 2018 mampu menyuntik keyakinan pelancong ke GM Klang, seiring dengan visi menjadi pusat borong sehenti paling komprehensif di Asia Tenggara pada masa akan datang.
“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir, kita dapat lihat pertambahan semula bas-bas rombongan dari dalam dan luar negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei ke Selangor, dan diharap perkembangan positif ini dapat terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri serta pihak industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Istimewa GM Klang sempena Tahun Melawat Selangor 2025 oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim di GM Klang hari ini.
Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata antara program akan dilaksanakan ialah kempen ‘Ke Mana Kita Lepas Borong?’ dengan pengunjung perlu memuat naik gambar mereka di GM Klang, atau mana-mana destinasi pelancongan sekitar Selangor ke media sosial berserta kapsyen yang kreatif.
Selain itu, kempen ‘Check-in, Spend-in, Type-in & Win!’ juga akan dilaksanakan bertujuan menggalakkan orang ramai berkunjung ke Bandaraya Diraja Klang serta berbelanja RM200 di GM Klang untuk berpeluang memenangi hadiah menarik.
“Di samping itu, GM Klang turut menawarkan insentif membeli-belah sebanyak RM500 setiap bulan bermula tahun hadapan bagi pengunjung bertuah. Rangkaian kempen-kempen ini mendapat dukungan MBDK dan Tourism Selangor,” katanya.
Norsuhaida berkata sempena ulang tahun ke-15 GM Klang tahun ini, pusat borong itu turut melancarkan lagu tema GM Klang dalam bahasa Inggeris bagi meluaskan lagi mesej pusat borong berkenaan kepada pengunjung antarabangsa.
“Lagu tema ini bakal dipromosikan lebih meluas melalui Cabaran TikTok bermula hujung bulan ini dengan usaha untuk menaikkan penguasaan penggunaan tanda pagar #VisitSelangor2025.
“Dengan usaha berterusan ini, mereka berharap ia dapat menjadi pemangkin untuk membangunkan lagi sektor pelancongan Selangor, sekali gus memperkukuhkan peranan GM Klang sebagai Duta Pelancongan Bandaraya Diraja Klang,” katanya.
Selain itu, Norsuhaida berkata GM Klang turut mengumumkan penglibatan mereka dalam kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia anjuran Tourism Malaysia dengan pemborong terpilih bakal mengadakan promosi hebat serta jualan penghabisan stok bermula 20 Dis hingga 5 Jan 2025.
Dalam pada itu, Ng berkata kempen dan inisiatif yang dilaksanakan GM Klang perlu menjadi contoh kepada pusat beli-belah dan pasar raya lain di negeri berkenaan dalam usaha membantu kerajaan negeri merancakkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial