WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Sambut Baik Kedutaan Baharu Qatar Di Putrajaya, Kukuh Hubungan Diplomatik

13/11/2024 08:09 PM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Qatar meraikan pencapaian penting dalam hubungan diplomatik yang memasuki tahun ke-50 dengan perasmian kedutaan baharu Qatar di Putrajaya pada Rabu.

Timbalan Menteri Luar Malaysia Datuk Mohamad Alamin yang merasmikan kedutaan baharu itu mengalu-alukan pemindahan Kedutaan Qatar dari Kuala Lumpur ke Putrajaya sebagai satu pencapaian yang signifikan dalam memperingati 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Qatar.

"Sambil menghormati ikatan ini, kita juga melihat masa depan, menyedari bahawa masih banyak yang boleh kita capai bersama.

"Peluang untuk memperdalam kerjasama dalam bidang ekonomi, budaya dan pendidikan adalah banyak," katanya dalam ucapannya yang dipetik dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia atau Wisma Putra.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung Kementerian Luar Qatar Dr Ahmad Hassan al-Hammadi, yang sebelum itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohamad untuk membincangkan inisiatif diplomatik yang sedang dijalankan dan peluang untuk memperkukuhkan kerjasama.

Mohamad berkata langkah itu bukan sahaja mencerminkan komitmen Qatar untuk mengukuhkan kerjasamanya dengan Malaysia tetapi juga menandakan potensi kedua-dua negara untuk bersatu di pentas global, khususnya dalam menangani isu kritikal seperti nasib rakyat Palestin.

“Kami berkongsi komitmen yang kuat untuk menangani ketidakadilan dan saya percaya kedutaan ini akan menjadi mercu tanda aspirasi dan nilai bersama kami, tambah beliau.

Kenyataan Wisma Putra berkata kehadiran Kedutaan Qatar di Putrajaya dijangka meningkatkan kerjasama dalam kalangan kementerian dan agensi kerajaan, membuka jalan kepada inisiatif dua hala yang mencerminkan matlamat bersama kedua-dua negara.

Perpindahan dari Kuala Lumpur ke Putrajaya juga sejajar dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk mengalu-alukan dan menyokong misi asing di ibu negara pentadbiran, menurut Wisma Putra.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan