KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Peningkatan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Feb tahun depan, akan merangsangkan lagi ekonomi negara, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata ini kerana pekerja yang mempunyai tambahan duit di dalam poket, bakal merangsang pasaran tempatan.
“Contoh mudah, ada 4.37 juta pekerja di Malaysia yang pada masa kini bergaji di bawah RM1,700. Jika kita anggap kini mereka terima RM1,500, tahun depan golongan ini secara keseluruhannya akan ada tambahan gaji RM10 bilion.
“Tambah pula RM10 bilion untuk kenaikan gaji sektor awam, maka pada 2025 akan ada hampir RM20 bilion wang tambahan dalam bentuk kenaikan gaji pekerja, yang berpotensi menjadi suntikan dana pasaran tempatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Sim berkata gaji minimum tidak harus dianggap sebagai gaji permulaan untuk siswazah dan pekerja berkemahiran.
Sebaliknya, beliau berkata ia adalah usaha kerajaan untuk menaikkan lantai gaji paling rendah dalam kalangan pekerja mempunyai kelayakan akademik yang rendah serta tidak berkemahiran.
Sementara itu, Sim berkata cadangan gaji minimum mengikut sektor memerlukan kajian lebih mendalam, kerana merangkumi aspek dinamika ekonomi, kos operasi dan kapasiti majikan dalam setiap sektor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial