WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengambilan Pelajar Ke Institut Bahasa Arab Al-Azhar Bermula Tahun Depan - PM Anwar

12/11/2024 10:48 PM

Daripada Nashir Mansor

KAHERAH, 12 Nov (Bernama) -- Pengambilan pertama pelajar bagi mengikuti kursus intensif bahasa Arab di Institut Bahasa Arab Al-Azhar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan bermula awal tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pelaksanaan program bahasa Arab itu adalah sebagai persediaan untuk pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Anwar berkata Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb telah bersetuju pelaksanaannya dipercepatkan bagi membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran bahasa Arab mereka sebelum berlepas ke Mesir.

“Pelajar, pengusaha, profesional akan memanfaatkan kemudahan itu dengan kos yang sangat rendah kerana kerajaan Malaysia akan menyediakan tempat dan Universiti Al-Azhar menyediakan profesor dan pensyarah atas biayaan mereka.

“Ini satu yang akan memberi manfaat sangat tinggi kepada kita. Ini menunjukkan satu keyakinan Sheikh Al-Azhar dan Universiti Al-Azhar keseluruhannya kepada kita,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke Mesir, hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan