Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 13 Nov (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang berusaha membawa keluar 83 rakyat Malaysia yang terkandas di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, berikutan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo akibat letusan Gunung Berapi Lewotobi Laki-Laki di Pulau Flores.
Jumlah mereka yang majoriti pelancong dijangka bertambah susulan pembatalan penerbangan di dua lagi lapangan terbang di wilayah berhampiran iaitu I Gusti Ngurah Rai, Bali dan Lombok, Nusa Tenggara Barat akibat sebaran abu letusan gunung berapi.
“Warganegara Malaysia yang terkesan dimohon untuk mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan serta memantau perkembangan terkini mengenai pembukaan ruang udara dari semasa ke semasa,” menurut kedutaan dalam satu kenyataan.
Pegawai di kedutaan sentiasa memantau dan menghubungi mereka yang terkesan untuk perancangan laluan alternatif dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri Indonesia berhubung status rakyat Malaysia yang terkandas dan saranan laluan alternatif.
Untuk bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di alamat Jl. H.R. Rasuna Said Kav.X/6, No. 1-3, Kuningan, Jakarta Selatan 12950, melalui telefon di +62 21 522 4947 / +62 813 8081 3036, atau emel ke mwjakarta@kln.gov.my.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 1,668 pelancong telah dibawa keluar dari Labuan Bajo menggunakan 73 kapal sejak Sabtu sehingga Selasa, menurut jurucakap Kementerian Perhubungan Indonesia Budi Rahardjo.
“Lima pelabuhan yang menjadi destinasi, empat di antaranya adalah pelabuhan di Nusa Tenggara Barat, iaitu Sape, Labuhan Lombok, Lembar dan Bima. Satu lagi pelabuhan di Benoa, Bali,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut melaporkan Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo ditutup semula pagi tadi dan empat lagi lapangan terbang di wilayah itu masih ditutup.
Sejumlah penerbangan laluan Jakarta-Bali, Jakarta-Lombok dan laluan Bali-Australia juga dibatalkan atas faktor keselamatan, tambahnya.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) pula memaklumkan abu letusan gunung berapi Lewotobi telah tersebar sehingga ke Pulau Lombok di Nusa Tenggara Barat.
“Abu letusan gunung berapi bergerak ke arah barat hingga barat daya," kata ketua analisa data BMKG Nusa Tenggara Barat Bastian Andriano, dipetik agensi berita Antara.
Letusan Gunung Lewotobi meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa pada 4 Nov, mendorong pihak berkuasa meningkatkan amaran aktiviti gunung berapi ke tahap tertinggi, iaitu Tahap IV.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial