WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pertumbuhan Kredit Bank Malaysia Meningkat Kepada 6.0 Peratus Pada 2025 - S&P Global

14/11/2024 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan kredit bank di Malaysia diunjurkan meningkat kepada 6.0 peratus menjelang 2025 berikutan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi selain lonjakan dalam permintaan korporat yang diterajui oleh projek infrastruktur utama, menurut S&P Global. 

Dalam laporan “Global Banks Country-By-Country Outlook 2025: Cautiously Confident”, S&P Global berkata nisbah pinjaman tidak berbayar industri boleh naik sebanyak 20-25 mata asas (bps) menjelang akhir 2025 berbanding 1.6 peratus setakat penghujung Jun 2024. 

“Ini boleh datang daripada pinjaman yang disusun semula, terutamanya kepada isi rumah berpendapatan rendah dan perusahaan kecil hingga sederhana. Sebarang penarikan semula subsidi bahan api akan memberi kesan selanjutnya kepada kedua-dua kumpulan yang terdedah ini. 

“Tahap pinjaman yang disusun semula telah berkurangan secara berterusan serta berada pada kira-kira 2.0 peratus pada akhir Jun 2024,” kata laporan itu.

S&P Global berkata kos kredit wajar kekal pada 15-20 mata asas, sama dengan purata pra-pandemi, memandangkan peruntukan yang mencukupi.

Margin faedah bersih boleh menurun sebanyak tiga hingga lima mata asas disebabkan persaingan sengit membabitkan pinjaman dan deposit . 

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami menjangkakan pulangan aset kekal pada 1.2 peratus hingga 1.3 peratus. 

"Potensi peningkatan kepada keuntungan boleh datang daripada kos kredit yang lebih rendah jika bank besar memilih untuk melupuskan semula peruntukan berkaitan pandemik," katanya. 

Melangkah ke hadapan, S&P Global berkata kualiti aset bank Malaysia berkait rapat dengan tahap pekerjaan, memandangkan sebahagian besar pinjaman adalah isi rumah. 

“Leveraj isi rumah yang tinggi menimbulkan beberapa risiko. Bagaimanapun, pekerjaan yang stabil dan aset kewangan isi rumah yang mencukupi menjadi faktor pengurangan,” katanya lagi.

Mengenai sektor hartanah, S&P Global menjelaskan bank mempunyai pendedahan material kepada pembangunan dan pembinaan hartanah pada kira-kira 8.0 peratus daripada jumlah pinjaman. 

Lebihan bekalan dalam pasaran hartanah komersial serta kadar kekosongan pejabat yang tinggi kekal sebagai cabaran struktur.

"Bank berhati-hati dalam memberi pinjaman kepada sektor itu dan secara beransur-ansur mengurangkan pendedahan," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan