JOHOR BAHRU,14 Nov (Bernama) -- Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah.
Alvin Tham Zheng Xu, 33, mengangguk faham bagi tiga pertuduhan mengedar dan satu pertuduhan memiliki dadah yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga Tham didakwa mengedar dadah jenis serbuk Ekstasi dengan anggaran berat kasar 149,581 gram, dadah jenis Methyl​enedioxy​methamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 6,998 gram dan dadah jenis Nimetazepam dianggarkan seberat 3,000 gram.
Bagi pertuduhan keempat, Tham didakwa memiliki dadah jenis Ketamine dianggarkan seberat 6,110 gram, dan semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Utama 37, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini kira-kira pukul 9.45 malam pada 3 Nov lepas.
Bagi kesalahan mengedar dadah, dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan maksimum 15 sebatan.
Bagi kesalahan memiliki dadah pula, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif yang tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Feb tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan kimia.
Sementara itu di Mahkamah Majistret berasingan Tham turut berhadapan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA pada 3 Nov lepas.
Tham mengangguk faham selepas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini, dan tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis MDMA dianggarkan seberat 100 gram di Jalan Sutera Pulai 2/2 Taman Sutera Utama di sini.
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 Jan tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial