WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Data Setempat PAKW Bolehkan Penyasaran Bantuan Dilakukan Lebih Tepat - DOSM

14/11/2024 06:13 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) --  Data bersifat setempat daripada indikator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) akan membolehkan program penyasaran bantuan kerajaan dilakukan secara lebih tepat kepada golongan yang memerlukan, termasuklah berkaitan pemberian subsidi petrol RON95, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata berbeza dengan konsep pengelasan B40 dan M40 yang dibuat berasaskan pendapatan isi rumah dan individu, data PAKW dicerakinkan berdasarkan pelbagai faktor, antaranya lokasi individu dan isi rumah itu serta jumlah tanggungan mereka, sekali gus menjadikan ia lebih menyeluruh.

“Penghasilan indikator ini adalah perkara yang agak signifikan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) selepas 75 tahun, kerana ia membolehkan negara melangkah ke hadapan dengan memberikan penilaian yang boleh digunakan untuk rujukan kepada mana-mana program penyasaran (bantuan).

“Tidak hanya itu, datanya juga boleh digunakan oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan pusat-pusat zakat untuk memberi bantuan kepada golongan asnaf atau digunakan untuk mengukuhkan isu sekuriti makanan negara, berdasarkan penilaian yang diberikan terhadap pengurusan dan produktiviti sektor pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Town Hall PAKW dan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Mengikut Daerah anjuran jabatan itu di sini, hari ini.

PAKW yang dilancarkan minggu lepas adalah sebahagian Indikator Kos Sara Hidup (KSH) 2023 selain Indeks Kos Sara Hidup (IKSH), yang merujuk kepada jumlah perbelanjaan bulanan diperlukan isi rumah atau invidividu untuk mencapai kehidupan wajar yang memenuhi keperluan, kehendak dan kemampuan menyertai akvititi kemasyarakatan.

Mohd Uzir berkata PAKW setiap isi rumah adalah berbeza mengikut keperluan dan komposisi ahli isi rumah, misalnya di Kuala Lumpur purata PAKW diunjurkan sebanyak RM2,233 bagi isi rumah dengan seorang ahli keluarga; RM3,771 (dua orang); RM5,157 (tiga orang),  RM6,536 (empat orang), RM7,873 (lima orang) dan RM9,864 (enam orang atau lebih).

“Justeru, kita berharap unjuran yang dihasilkan tidak sewenang-wenang disalahgunakan oleh syarikat atau majikan dengan memberikan gaji yang rendah kepada pekerja mereka hanya semata-mata PAKW di sesuatu kawasan itu rendah,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan