WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kontena Hempap Kereta: Lesen Operasi Syarikat Treler Bakal Digantung Jika Gagal Proses Audit - Loke

14/11/2024 07:52 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Lesen operasi syarikat treler yang menyebabkan kemalangan maut di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam bakal digantung jika syarikat itu gagal dalam proses audit atau tidak mematuhi peraturan keselamatan, kata  Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Bengkel Ekonomi Maritim anjuran Institut Maritim Malaysia (MIMA) di sini hari ini, Loke berkata pihaknya telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menjalankan siasatan segera dan terperinci terhadap insiden itu bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Memang satu perkara yang menyedihkan dan mendukacitakan. Insiden ini tidak sepatutnya berlaku.

“Tindakan perlu diambil, pertama APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) akan buat audit bersama JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), sekiranya mereka (syarikat) didapati gagal dalam audit dan tidak mematuhi peraturan keselamatan, mereka akan digantung perkhidmatan,” katanya.

Media semalam melaporkan kejadian tragis berkenaan yang menyebabkan seorang wanita berusia 21 tahun maut dan seorang lelaki berusia 25 tahun cedera parah selepas kereta masing-masing dihempap kontena yang terjatuh daripada treler dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Loke berkata pihaknya memandang serius terhadap insiden itu dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi menyiasat punca kejadian.

“(Kita ingin tahu) Adakah ini kerana dari segi teknikal ‘reka bentuk’ atau kontena ini ada masalah atau mereka cuai dan tidak memasang kontena dengan selamat (pada treler),” katanya.

Menzahirkan kekecewaan terhadap sikap tidak sensitif pemandu treler berusia 51 tahun itu kepada keluarga mangsa, Loke berkata lelaki berkenaan tidak sepatutnya bertindak sedemikian kerana keluarga mangsa masih berdukacita dengan insiden yang menimpa ahli keluarga mereka.

“Hari ini saya difahamkan lelaki ini dihadapkan ke mahkamah dan dia menunjukkan lambang ‘V’ kepada petugas media, saya tidak tahu apa sikap sebegini, tidak ada simpati kepada keluarga mangsa,” katanya.

Media hari ini melaporkan pemandu treler yang merupakan lelaki warga tempatan itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan