WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN Lantik Lebih 2,000 Peruncit, Pemborong Untuk Pastikan Bekalan Hadapi MTL

14/11/2024 09:14 PM

RAUB, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melantik 1,369 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 635 pemborong terpilih daerah (DDW) di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh. 

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu antara pelan kontingensi banjir KPDN bagi  memastikan bekalan keperluan mencukupi, mudah diperoleh serta dijual pada harga ditetapkan sepanjang MTL yang bermula 5 Nov lepas dan dijangka berlarutan hingga Mac depan. 

Beliau berkata pemilik premis DDR dan DDW yang dilantik KPDN ini berada di setiap daerah dan berfungsi sebagai pemegang stok mini terpilih bagi membekalkan barang keperluan asas serta mengenal pasti barangan yang diperlukan mangsa bencana sekali gus mengelakkan mereka terputus bekalan. 

“KPDN mengambil perhatian serius kenyataan MetMalaysia berkenaan jangkaan terdapat taburan hujan panjang bermula November hingga Mac dan dalam tempoh itu diramal lima hingga tujuh episod hujan lebat akan berlaku serta beberapa episod bencana akan melanda kebanyakan negeri. 

“Antara yang dilakukan KPDN adalah persediaan DDR dan DDW. Kita pernah lakukan sebelum ini, cuma untuk kali ini kita mengambil langkah proaktif dengan melantik mereka lebih awal iaitu pada September. Ini berdasarkan pengalaman sebelum ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Turun Padang ke Program Jualan Rahmah MADANI Negeri Pahang di Pekan Sehari Dong di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal.

Armizan berkata untuk kali ini juga, KPDN menambah pelantikan DDR dan DDW khususnya di kawasan negeri berisiko banjir seperti Pahang, Kelantan dan Terengganu yang biasanya bencana itu melibatkan lebih daripada satu daerah.

“KPDN sudah mengenal pasti daerah yang memang kerap mengalami banjir bukan hanya melibatkan satu daerah tetapi ada yang hingga separuh dan satu negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Jadi kita kena bersedia dengan DDR dan DDW, bukan hanya dari segi barangan tetapi juga keperluan logistik dan ini termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Angkatan Pertahanan Awam,” katanya menambah di Pahang sahaja terdapat 210 DDR dan 97 DDW yang dilantik. 

Beliau berkata DDR dan DDW terbabit juga diberikan kelulusan sementara untuk menambah had simpanan barang kawalan dan barangan keperluan asas hingga 30 peratus daripada had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam tempoh bencana. 

“Kelulusan ini diberikan supaya sekiranya ada keperluan atau gangguan bekalan, boleh terus dihantar tanpa menunggu bekalan dari luar untuk sampai khususnya di kawasan luar bandar.

“Saya juga ingin mengingatkan bukan sahaja kepada DDR dan DDW malah kepada semua premis perniagaan, peruncit, pemborong atau pengilang agar melaksanakan tanggungjawab mereka sehabis baik dan jangan sesekali bertindak menyorok barang dalam keadaan memerlukan ini,” katanya. 

Beliau berkata kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak terbabit sama ada menarik atau menggantung lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia sekiranya terdapat aduan menyorok bekalan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan