WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pedrosa Ambil Alih Daripada Rebecca Sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC

16/11/2024 01:21 AM

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 15 Nov (Bernama) -- Eduardo Pedrosa hari ini dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Sekretariat APEC, mengambil alih daripada Tan Sri Dr Rebecca Sta Maria dari Malaysia. 

Rebecca, yang merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, telah berkhidmat di sekretariat yang berpangkalan di Singapura sejak enam tahun lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, APEC berkata Pedrosa, yang dari Filipina, mempunyai pengalaman luas melibatkan pihak berkepentingan dalam organisasi antarabangsa.

Sebelum pelantikannya, katanya beliau merupakan Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC), yang memberikan nasihat dasar berdasarkan input daripada para peserta.

“Antara peranan paling penting Pengarah Eksekutif ialah memimpin dengan jelas, memperkasakan sekretariat untuk mencerminkan visi APEC mengenai ‘komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040, demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan’,” kata Duta Besar Carlos Vasquez selaku Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan APEC 2024.

Beliau berkata “keutamaan APEC pada tahun ini ialah membantu pihak tidak formal beralih kepada ekonomi formal dan global.”

Menurut Vasquez, isu-isu yang ditangani APEC telah menjadi lebih luas, meliputi perdagangan yang mampan dan inklusif, dengan tumpuan termasuk kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta wanita.

“Penggunaan teknologi digital yang pesat juga mempunyai cabaran dan peluang,” katanya, sambil menambah ini memerlukan input daripada semua elemen masyarakat.

Vasquez turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Rebecca Sta Maria atas perkhidmatan beliau yang cemerlang, menjadi antara tonggak APEC sejak enam tahun lepas.

Sementara itu, Pedrosa berkata beliau berbesar hati untuk menyertai Sekretariat APEC pada detik yang begitu penting dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan pasukan itu untuk memacu hasil yang dapat memberi impak serta memenuhi misi mereka dan pihak berkepentingan.

Beliau menjelaskan antara nilai kekal APEC ialah prinsip asas kerjasama ekonomi dan komitmennya terhadap sistem multilateral.

Pada pandangan beliau, keupayaan APEC untuk menggalakkan dialog dan mempromosikan amalan terbaik menjadi pendekatan penting untuk menangani cabaran serantau.

“Antara pencapaian APEC paling ketara ialah pengiktirafan terhadap pelbagai keperluan semua pihak berkepentingan.

“Oleh itu, penting untuk kita terus memastikan usaha ini kekal relevan dan menangani cabaran moden, daripada daya tahan iklim hingga keselamatan rantaian bekalan,” katanya.

Pedrosa turut berharap kepimpinannya akan memperkukuh visi APEC sebagai forum yang menyokong pertumbuhan dan keterangkuman yang luas selain inisiatif perdagangan tradisional.

Pedrosa menyertai PECC sebagai pengarah (program dasar) pada 2001 iaitu beliau menyelia dan menguruskan program penyelidikan majlis tersebut, termasuk bidang dasar perdagangan, kerjasama kewangan dan monetari serta tadbir urus korporat.

Beliau juga merupakan editor bersama buku “An APEC Trade Agenda: The Political Economy of a Free Trade Area of the Asia Pacific” dan menyumbang kepada “The ASEAN Community: Unblocking the Roadblocks” dan “ASEAN: Life after the Charter”.

APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik.

Ia mewakili hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global.

Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan