WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengambilan Khas Isi Jawatan Guru Di Sarawak Dijangka Selesai Akhir Tahun

18/11/2024 03:10 PM

KUCHING, 18 Nov (Bernama) -- Penempatan guru menerusi pengambilan khas untuk Sarawak oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dijangka diselesaikan sebelum akhir tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Beliau berkata usaha pengambilan di seluruh Sarawak telah menarik lebih daripada 15,000 pemohon, dengan 2,010 calon telah disenarai pendek untuk temu duga akhir yang diadakan di bandar raya ini, Sibu dan Miri.

“Saya telah memaklumkan kepada SPP mengenai komitmen kita untuk memberi keutamaan kepada calon-calon dari Sarawak bagi memastikan kesinambungan.

“Menerusi inisiatif ini, kita berhasrat untuk menangani kekurangan guru di Sarawak, memastikan setiap kanak-kanak terutamanya di kawasan pedalaman mampu menikmati akses berterusan kepada pendidikan berkualiti,” katanya ketika penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

 Beliau berkata Sarawak juga akan melaksanakan pentaksiran standard bagi Program Dwibahasa (DLP Sarawak) untuk murid Tahun Enam pada 2025 dan Tingkatan Tiga pada 2028.

Matlamat utama, katanya adalah untuk menilai perkembangan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris menerusi program DLP Sarawak.

Sagah berkata kohort pertama DLP Sarawak akan memasuki Tahun Enam pada 2025, menjadikannya waktu yang sesuai untuk menilai impak program terbabit dan membuat penambahbaikan yang perlu.

 Beliau berkata penilaian itu juga sebagai persediaan awal untuk membantu pelajar meningkatkan kemahiran dan keyakinan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak seperti Program Dual Bahasa Kebangsaan, DLP Sarawak menggunakan pendekatan bahasa Inggeris sepenuhnya untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di semua sekolah rendah kerajaan di negeri ini.

 Sagah berkata kementeriannya turut memperkenalkan Program Pemantapan Pendidikan Sarawak (SEEP), yang bertujuan meningkatkan prestasi keseluruhan SPM Sarawak dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini.

“Program ini melibatkan pelaburan sebanyak RM15 bilion, yang menyasarkan pelajar berprestasi rendah di Tingkatan Tiga, Empat dan Lima.

 “Dari segi pencapaian, kita jangkakan dapat melihat peningkatan yang jelas dalam prestasi akademik pelajar SPM. Sasaran kita adalah untuk mencapai Gred Purata Negeri (GPN) Sarawak yang setanding dengan purata kebangsaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan