WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKM Teroka Peluang Baharu Melalui Program MCYTT

18/11/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian bercadang meneroka ruang dan peluang baharu termasuk penyertaan dalam Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) pada tahun depan. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata program itu melibatkan penempatan pelatih tempatan di China selama dua minggu yang antara lain bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman penggunaan teknologi terkini yang digunakan di negara itu.

“Faedah yang akan diperoleh daripada penyertaan dalam program ini adalah seperti mendapatkan maklumat dan pendedahan berkaitan teknologi baharu dan pendigitalan dalam pengajaran dan pembelajaran TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di bawah sektor pertanian dan agromakanan China.

“Selain itu, mengenal pasti bidang baharu dalam sektor pertanian yang boleh diteroka dengan sokongan pihak TANG International Education Group dan rakan strategik lain dan membina rangkaian hubungan kerjasama lebih luas serta kukuh dengan institusi pendidikan dan industri sektor pertanian agromakanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Arthur berkata program MCYTT akan melibatkan 200 pelatih dan tenaga pengajar daripada bidang tanaman, ternakan, perikanan dan pemprosesan makanan serta pemasaran.

Mengenai program Agropreneur Muda, beliau berkata seramai 3,068 usahawan telah diberikan kelulusan geran di bawah program itu sejak 2021 melibatkan sektor tanaman, ternakan, perikanan dan industri asas tani. 

Beliau berkata usahawan yang menerima geran Agropreneur Muda akan dipantau dalam tempoh 30 tahun setelah pembekalan barangan diterima.

“Bagi memastikan bantuan yang diberikan digunakan bagi tujuan melaksanakan projek pertanian dan agromakanan, mekanisme sedia ada akan dikekalkan pada tahun-tahun akan datang.

“Selain bantuan dalam bentuk geran, usahawan juga berpeluang mengikuti kursus dan bimbingan teknikal meliputi semua rantaian nilai bidang pertanian termasuk mengenai pengurusan kewangan bagi projek yang dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu penyelewengan yang dihadapi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Arthur berkata KPKM akan mengadakan taklimat dengan Ahli Parlimen berhubung perkara itu pada 25 Nov ini.

“Esok pagi dalam sesi MQT (Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri), menteri (Datuk Seri Mohamad Sabu) akan menjawab isu NAFAS secara khusus. Jadi saya harap Yang Berhormat dapat hadir untuk mendengar jawapan daripada menteri,” katanya.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM6,420,958,100 yang diperuntukkan kepada KPKM dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 23 Ahli Parlimen.

Persidangan bersambung esok. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan