WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tindakan Henti Penstrukturan Semula Pelaburan Bantutkan Transformasi LTAT - PAC

19/11/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Keputusan Kementerian Pertahanan (MINDEF) menghentikan pelan penstrukturan semula portfolio pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dilaksanakan pengurusan terdahulu membantutkan proses transformasi menyeluruh LTAT, menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata inisiatif utama dalam Pelan Strategik LTAT 2023-2025, merangkumi penstrukturan semula syarikat tunggal Boustead Holdings Berhad (Boustead Holdings) yang dilancarkan pada Julai 2023, disifatkan sebagai satu pelan praktikal.

Beliau berkata pelan itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan LTAT kepada Boustead Holdings malah akan mempelbagaikan pelaburan LTAT dalam aset-aset berkualiti lain.

“Pelan tersebut turut telah melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan di setiap peringkat di LTAT dan MINDEF ketika itu serta melibatkan kajian yang menyeluruh oleh pihak LTAT.

“Berdasarkan keterangan Menteri Pertahanan sendiri semasa prosiding, keputusan penangguhan dan arahan merangka semula pelan penstrukturan semula Boustead Holdings dibuat setelah hanya mendapat pandangan daripada pengurusan Boustead Holdings, dan bukan pengurusan LTAT.

“LTAT sebagai pemilik 100 peratus Boustead Holdings perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka dan melaksana pelan yang memenuhi keperluan dan objektif LTAT, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebelum ini PAC telah mengadakan empat prosiding, masing-masing dua pada 20 Jun dan dua lagi pada 7 Ogos 2024 dengan memanggil Ketua Audit Negara, Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha MINDEF dan Ketua Eksekutif LTAT berikutan isu yang terpalit dengan lembaga itu.

Turut dipanggil bekas Pengerusi, bekas Ketua Eksekutif dan bekas Pengarah Kanan Strategi LTAT yang masing-masing telah meletak jawatan antara tempoh 31 Jan hingga 16 Feb lepas. 

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata struktur Boustead sebagai syarikat pengantara antara LTAT dengan syarikat yang menjana keuntungan, perlu dirombak semula dengan mengambil kira pelbagai krisis dan skandal yang telah berlaku di bawah pengawasan Boustead.

Beliau berkata penyusunan semula pelaburan LTAT kepada Boustead Holdings akan membantu LTAT meningkatkan keuntungan terkumpul dan menaikkan nilai aset pelaburan sekali gus memperbaiki kedudukan rizabnya.

“Aliran tunai yang kritikal dan pebagai krisis kewangan yang melanda Boustead Holdings dan anak-anak syarikatnya meningkatkan risiko penyusutan nilai yang melibatkan hingga 50 peratus daripada nilai tabung iaitu hampir RM5 bilion dana tabung persaraan yang diuruskan oleh LTAT.

“Penyusutan nilai ini akan tidak hanya menyebabkan LTAT tidak berkemampuan untuk membayar dividen kepada pencarum namun boleh menyebabkan LTAT kehilangan serta kerugian dana RM5 bilion tersebut,” katanya.

Berhubung isu rizab LTAT yang berbaki negatif, PAC berpendapat strategi yang tertumpu kepada peningkatan keuntungan terkumpul bagi membolehkan LTAT mengurangkan kedudukan negatif secara beransur-ansur perlu diteruskan.

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC meggariskan tiga syor iaitu LTAT seharusnya membuat pembayaran dividen berlandaskan kepada keuntungan sebenar dan tidak menggunakan keuntungan bukan tunai seperti dilakukan pada 2021 dan 2022.

“LTAT juga seharusnya meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan komposisi portfolio pelaburan serta tidak bergantung pada satu entiti sahaja bagi mengurangkan risiko pendedahan supaya dapat memberi dividen yang tinggi dan konsisten kepada pencarum.

“MINDEF dan LTAT perlu membentangkan kepada PAC status terkini perancangan LTAT berhubung pegangan portfolio saham, penstrukturan semula Kumpulan Boustead dan Hala Tuju LTAT sebelum akhir tahun 2024,” katanya 

Mas Ermieyati berkata PAC meminta Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan pengauditan terperinci terhadap Boustead dari segi kewangan dan tata kelola Boustead Holdings tahun hadapan, selain tempoh dua bulan diberikan kepada MINDEF dan LTAT untuk melaksanakan syor jawatankuasa itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan