Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Majoriti atau dianggarkan lebih 90 peratus usahawan, terutama yang berpendapatan tahunan RM25 juta ke bawah, masih belum memanfaatkan sistem e-invois yang mula diperkenalkan pada 1 Ogos lepas.
Sistem e-Invois itu merupakan rekod digital transaksi dan bertujuan membantu meningkatkan kecekapan pengurusan dokumen perniagaan.
Ahli Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) Mohd Rozlan Mohamed Ali berkata data menunjukkan kebanyakan perniagaan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) belum bersedia sepenuhnya menjelang pelaksanaan wajib e-Invois pada 1 Julai 2025.
“Platform e-Invois memastikan semua transaksi perniagaan direkodkan dengan baik, mengelak kesilapan serta bagi tujuan mematuhi peraturan cukai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi sembang ‘pocket talk’ bertajuk Jadilah Usahawan Berilmu: Fahami E-Invois semasa Program Dua Tahun MADANI di sini hari ini, atas jemputan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menjelaskan selanjutnya, Mohd Rozlan berkata cabaran utama dalam memastikan kejayaan sistem e-Invois dalam kalangan usahawan itu adalah bagi memberi pemahaman jelas mengenai kepentingan melakukan persiapan awal.
Menurutnya, ini penting memandangkan ramai dalam kalangan usahawan yang masih keliru dengan sistem itu.
“Masih ramai, khususnya dalam kategori PKS, masih keliru mengenai dokumen yang diperlukan, cara mendapatkan nombor cukai pelanggan serta sistem yang perlu digunakan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan untuk memanfaatkan beberapa inisiatif yang telah dilancarkan oleh KUSKOP seperti sesi latihan percuma dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan agensi lain.
“Sesi latihan (seterusnya) akan diadakan di Putrajaya pada 28 November ini untuk 200 peserta manakala sesi penerangan dijadualkan di Kota Kinabalu pada 10 Disember,” katanya.
Beliau juga mengingatkan kalangan usahawan agar tidak menunggu hingga ke saat-saat akhir untuk melaksanakan e-Invois kerana ini boleh mengganggu operasi perniagaan.
“Bertindaklah dengan dapatkan nombor cukai anda dan pelanggan, kenali sistem yang sesuai digunakan dan pastikan anda mempunyai pemahaman teknikal yang sewajarnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial