WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Selaras Ekonomi Sebenar Dan Pasaran Modal, Pacu Pertumbuhan Inklusif

20/11/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Malaysia menyasar untuk menyelaraskan ekonomi sebenar dengan perkembangan berterusan dalam pasaran modal ketika negara melakukan transformasi terhadap kerangka ekonominya, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata negara sedang berusaha untuk meningkatkan industri bagi mendorong pewujudan kekayaan untuk memastikan pengagihan kemakmuran yang lebih adil dalam masyarakat serta menggalakkan pertumbuhan dalam pelbagai sektor ekonomi untuk memacu negara ke hadapan.

“Aspek yang penting bagi pasaran modal adalah peranannya untuk mempermudah pertumbuhan -- memberi modal yang diperlukan perniagaan untuk berkembang, membuka peluang dalam pelbagai segmen pasaran dan mempercepat kemajuan ekonomi untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika Sesi Bual Santai pada Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Tahunan Persekutuan Bursa Dunia (WFE) ke-63 di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata ekonomi Malaysia telah menunjukkan prestasi baik tahun ini, dengan pertumbuhan purata 5.2 peratus sepanjang tiga suku pertama tahun ini.

Beliau turut menekankan mengenai peningkatan dinamik di Bursa Malaysia, dengan penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI melepasi paras 1,600 mata dan jumlah permodalan pasaran mencecah RM2 trilion.

Amir Hamzah berkata sebanyak 46 tawaran awam permulaan (IPO) baharu telah diperkenalkan tahun ini melibatkan Pasaran Utama, Pasaran ACE dan Pasaran LEAP.

"Ini memperlihatkan kesalinghubungan yang teguh bagi pasaran dalam perancangan," katanya.

Menurutnya 11 syarikat daripada Pasaran ACE berjaya beralih ke Pasaran Utama tahun ini.

"Ini adalah trend menggalakkan berikutan ia menunjukkan perkembangan yang baik bagi syarikat dalam rantaian pasaran," katanya. 

Beliau menyatakan keyakinan terhadap prospek jangka panjang pasaran Malaysia, yang dipacu oleh aktiviti IPO yang konsisten dan perancangan giat bagi perniagaan yang bersedia untuk berkembang.

Sementara itu, Amir Hamzah menekankan mengenai kedudukan Malaysia sebagai penerima manfaat utama daripada gangguan rantaian bekalan global, terutama berikutan operasinya yang kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Beliau berkata Malaysia menyumbang kira-kira tujuh peratus daripada perdagangan global dalam E&E dan 17 peratus daripada pasaran semikonduktor global.

Kerajaan memberi tumpuan untuk mewujudkan ekosistem yang teguh bagi menarik dan mengekalkan syarikat multinasional, katanya.

“Ini bermatlamat bagi memastikan Malaysia kekal sebagai pilihan yang menyenangkan kepada syarikat ini dengan membina kumpulan bakat mahir, memperkukuh rantaian bekalan dan menambah baik infrastruktur logistik,” katanya.

Amir Hamzah turut menekankan mengenai kepentingan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menyalurkan dana kepada pasaran swasta untuk membangunkan ekosistem ini.

“Dengan melabur dalam inisiatif sedemikian, kita sedang membina ketahanan jangka panjang untuk ekonomi domestik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan