WILAYAH - TENGAH > BERITA

Kerajaan Selangor Perkenal Garis Panduan Pembinaan Inap Desa Di Tanah Pertanian

20/11/2024 07:43 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memperkenalkan garis panduan berhubung pembinaan inap desa khususnya yang dibina di atas tanah pertanian.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata pihak berkuasa tempatan telah diminta untuk meneliti perkara terbabit bagi memastikan tanah pertanian itu tidak diteroka dengan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata inap desa yang dibina di atas tanah pertanian seperti sawah padi dilihat semakin menjadi pilihan dengan lambakan premis itu dikesan pesat dibangunkan terutamanya di anjung utara dan selatan negeri itu.

“Dalam masa kita membantu membangunkan industri pelancongan, kerajaan negeri tidak boleh ambil pendekatan dengan melepaskan pengusaha membina inap desa di atas tanah pertanian begitu sahaja sebaliknya mereka juga perlu mengikut undang-undang.

 “Oleh itu, saya minta pihak berkuasa tempatan meneliti dan wujudkan satu garis panduan bagi membantu pengusaha inap desa di kawasan sawah selain memastikan tanah pertanian tidak diteroka sewenang-wenangnya kerana ia berkaitan dengan keterjaminan makanan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) berhubung kesediaan kerajaan negeri memberi pelepasan kebenaran merancang kepada pengusaha inap desa di atas tanah pertanian pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Dalam hal sama, Ng turut menggalakkan semua pengusaha inap desa berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Tourism Selangor bagi membolehkan mereka dilindungi dengan insurans sekiranya berlaku sebarang isu membabitkan keselamatan terhadap premis berkenaan.

Langkah ini antara lain bagi memastikan perusahaan inap desa yang memberi saingan kepada industri perhotelan beroperasi secara sah dan mengikut piawaian ditetapkan, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan