KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia pada Rabu menganjurkan Ekspo Kesihatan dan Pelancongan Malaysia yang julung kali diadakan, mengetengahkan tarikan negara ini sebagai destinasi utama dalam sektor kesihatan dan pelancongan.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan untuk rakyat Namibia, menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi itu.
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya dalam ucapan alu-aluannya menekankan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan, yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk sebagai Destinasi Perjalanan Perubatan Terbaik oleh International Medical Travel Journal yang berpangkalan di United Kingdom.
Beliau berkata berbanding destinasi seperti New York dan United Kingdom, kos sara hidup dan penjagaan kesihatan di Malaysia bukan sahaja lebih berpatutan tetapi juga menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia, menjadikan Malaysia pilihan ideal bagi rakyat Namibia yang ingin mendapatkan rawatan perubatan dan mengisi masa lapang.
"Sehingga 2023, Malaysia telah menerima kira-kira 70 pelancong kesihatan dari Namibia, dengan rawatan ‘gastroenterology’ menjadi carian utama," katanya.
Beliau turut menekankan dasar visa semasa ketibaan selama 90 hari untuk rakyat Namibia, yang disifatkan sebagai kelebihan utama bagi pelawat.
“Lebih ramai rakyat Namibia seharusnya mendapatkan rawatan kesihatan yang baik dan berpatutan di Malaysia, sementara keluarga mereka boleh menikmati percutian di Malaysia – satu simbiosis antara sektor kesihatan dan pelancongan,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia telah menerima lebih 23,000 pelancong kesihatan dari benua Afrika.
Dalam sesi libat urus, Rameez memberi jaminan bahawa Malaysia menawarkan akses penjagaan kesihatan yang lancar serta bersedia meneroka peluang kerjasama.
Acara itu turut dihadiri tokoh penting sektor kesihatan dan pelancongan Namibia, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Perubatan Namibia, Dr Armid Azadeh dan Pengarah Eksekutif Kementerian Kesihatan dan Perkhidmatan Sosial, Ben Nangombe.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial