WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Salur Maklumat Rakyat Miskin, Miskin Tegar Kepada Kerajaan Sabah - Hajiji

20/11/2024 08:15 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Semua pihak terutama wakil rakyat, pegawai daerah dan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi diminta menyalurkan maklumat mengenai masalah miskin dan miskin tegar dihadapi rakyat kepada kerajaan Sabah melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sehubungan itu, satu sesi libat urus Sekretariat SMJ bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti bukan kerajaan akan dilaksanakan pada 28 Nov ini bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan isu terbabit.

“Saya telah mengarahkan Sekretariat SMJ untuk mengadakan sesi libat urus ini yang antara lain untuk memurnikan senarai Ketua Isi Rumah (KIR) atau Ahli Isi Rumah (AIR) yang telah dikenal pasti dan layak di kawasan masing-masing bagi mendapatkan intervensi bantuan.

“Ini penting bagi memastikan tiada sesiapa tercicir dalam Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Negeri Sabah. Saya percaya jumlah miskin dan miskin tegar lebih ramai berbanding diumumkan sebelum ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan Sabah 2025) di sini hari ini.

Semalam, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dalam persidangan itu dilaporkan berkata 3,978 KIR berstatus miskin tegar dan 68,089 KIR berstatus miskin sehingga September lepas di negeri ini.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) bangun mencelah memberikan cadangan klasifikasi miskin dan miskin tegar di Sabah tidak seharusnya bergantung kepada KIR semata-mata, sebaliknya perlu menilai seluruh isi rumah yang terbabit.

“Satu rumah didiami tiga, empat keluarga di Sabah ini. Kalau KIR itu miskin tegar, takkan keluarga dalam rumah (sama) itu bukan miskin tegar. Ini mengelirukan jika kita lihat data KIR itu sahaja. Kita kena faham juga, lapan daripada 10 daerah termiskin ada di Sabah,” katanya.

Hajiji kemudian menjelaskan beliau memahami apa yang diutarakan dan sebab itulah kerajaan Sabah memerlukan penyaluran maklumat daripada pihak terlibat, terutama di peringkat akar umbi bagi membantu dalam mengenal pasti rakyat yang terkesan dengan permasalahan berkenaan.

“Kerana itu salurkan maklumat kepada Sekretariat SMJ untuk kita bantu rakyat kita, miskin dan miskin tegar ini memang masih banyak. Kita bersama dalam usaha membebaskan rakyat kita daripada permasalahan ini, mari kita kerjasama dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan