WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jabatan Keretapi Negeri Sabah Jalankan Siasatan Dalaman Insiden Kemalangan Maut

20/11/2024 09:09 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Keretapi Negeri Sabah akan menjalankan siasatan dalaman berhubung kemalangan melibatkan perkhidmatan kereta api yang mengakibatkan seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia 11 tahun cedera parah berhampiran Kampung Petagas, Putatan dekat sini tengah hari semalam.

Mengikut kenyataan dikeluarkan Unit Pengurusan Korporat, Jabatan Keretapi Negeri Sabah hari ini, siasatan itu akan dijalankan menerusi Badan Penyiasatan Dalaman yang telah ditubuhkan.

"Pihak Jabatan Keretapi Negeri Sabah juga telah membuat satu laporan di Balai Polis Putatan berhubung kemalangan berkenaan yang dibuat oleh pemandu lokomotif yang bertugas semasa kemalangan itu untuk tindakan dan siasatan lanjut," kata kenyataan berkenaan.

Dalam nahas itu, mangsa Lena Gabun, 41, maut manakala anak lelakinya cedera parah selepas dirempuh kereta api dari Putatan menghala ke Kota Kinabalu ketika melintas landasan di hadapan Kampung Petagas.

Jabatan itu turut memaklumkan perkhidmatan kereta api terlibat dalam insiden berkenaan adalah PU502 dari Stesen Beaufort ke Stesen Sembulan yang bertolak dari Stesen Beaufort pada 11.00 pagi dan tiba di Stesen Putatan pada 12.54 tengah hari sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu seminit kemudian.

Mengulas lanjut, semasa menghampiri kawasan lintasan rata tertutup di Sekolah Kebangsaan Petagas, pemandu lokomotif telah membunyikan hon seperti biasa dan dalam jarak sekitar 150 meter, petugas terbabit terlihat dua orang awam yang sedang cuba melintas landasan kereta api di lokasi berkenaan.

"Pemandu lokomotif membrek dengan serta-merta. Kedua-dua orang awam berkenaan tidak memberikan sebarang tindak balas segera," menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga berkata perkhidmatan keretapi PU502 diteruskan atas kebenaran polis pada pukul 2.40 petang dengan lebih kurang 90 penumpang dan tiada laporan kecederaan diterima.

Sementara itu, jabatan menzahirkan salam takziah dan rasa simpati terhadap keluarga mangsa terlibat dalam kemalangan itu selain sedang mengambil insiatif untuk meringankan beban mangsa dan keluarga mangsa yang terkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan