WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tempoh Rehat Jumaat Dua Jam Mulai Tahun Depan - MB

21/11/2024 02:45 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor menetapkan tempoh waktu rehat hari Jumaat bagi sektor awam dan swasta dipanjangkan kepada dua jam bermula 1 Jan tahun depan berbanding hanya satu jam 30 minit ketika ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ketetapan itu dibuat bagi membolehkan pekerja beragama Islam menunaikan kewajipan solat Jumaat dengan selesa apabila cuti hujung minggu Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad.

“Seiring dengan perubahan itu, jadual waktu bekerja jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan akan diselaras mengikut pelaksanaan di peringkat Persekutuan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Pada 7 Okt lepas, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah penyelarasan semula cuti hujung minggu kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025 di Johor mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat.

Penyelarasan semula cuti hujung minggu itu akan melibatkan kesemua penduduk Johor, terutama 587,343 pelajar dan 1.948 juta tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata bagi memastikan pelajar lelaki beragama Islam dapat menunaikan solat Jumaat, maka Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan JAINJ bersama Jabatan Mufti Johor akan menambah bilangan surau termasuk dewan di sekolah bagi pelaksanaan solat Jumaat.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri akan terus mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatannya termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara dalam talian.

Beliau berkata waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal akan dipanjangkan termasuk pada waktu rehat dan menyeragamkan waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi kerajaan negeri, Persekutuan dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Sekiranya usaha penambahbaikan ini berjalan dengan baik dan lancar, Insya-Allah pada masa depan kerajaan negeri dengan perkenan Pemangku Sultan Johor dan restu Yang di-Pertuan Agong bersedia mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan