ISKANDAR PUTERI, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor mengumumkan pemberian insentif khas kecemerlangan kepada penjawat awam negeri berjumlah dua bulan gaji sebagai tanda penghargaan kepada dedikasi dan komitmen golongan berkenaan.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian bantuan itu turut melibatkan penjawat awam kerajaan Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.
“Semoga insentif ini menjadi motivasi untuk meningkatkan kecemerlangan dan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Beliau juga mengumumkan elaun pegawai masjid dan surau yang dibayar kerajaan negeri dinaikkan 100 peratus membabitkan peruntukan RM18.1 juta, dengan kali terakhir elaun itu dinaikkan 12 tahun lepas.
“Sebanyak RM3.5 juta juga diperuntukkan bagi pemberian insentif RM500 sekali bayar kepada 6,970 pegawai masjid dan surau yang disalurkan kepada 56 penggerak DUN dan akan dibayar Mac tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan memperkenalkan Johor Super Lane (JSL) di Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia–Johor (IMFC–J) sebagai sebuah platform penyeragaman proses dan peningkatan memudahkan urusan menjalankan perniagaan di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ).
“JSL ialah manifestasi penambahbaikan kepada inisiatif Kulai Fast Lane (KFL) yang telah menjadi tanda aras, rujukan dan ikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Johor dan juga di beberapa negeri, seperti Melaka dan Selangor. Malah, perkara ini disebut Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2025.
“Antara penambahbaikan JSL ialah penjimatan masa proses pemajuan tanah yang belum mempunyai Kebenaran Merancang Susun Atur dipendekkan daripada 37 bulan kepada 13 bulan sahaja. Bahkan, lesen operasi perniagaan pula akan dikeluarkan dalam tempoh satu jam selepas Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikemukakan,” katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata sejumlah RM1.8 juta akan diperuntukkan bagi meneruskan program Anak Angkat Makmur Johor untuk membela nasib 1,200 kanak-kanak dan remaja yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.
Beliau berkata sebanyak 8,021 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) disasarkan dibina pada tahun depan di semua daerah melalui kerjasama kerajaan negeri dan pemaju.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut melancarkan laman web rasmi Maju Johor 2030 di luar persidangan DUN sebagai simbolik komitmen kerajaan negeri memastikan rakyat Johor mendapat maklumat terkini berkenaan dasar dibuat pihaknya.
“Objektif laman web ini adalah sebagai pusat informasi rasmi tentang pembangunan, inisiatif dan pencapaian negeri Johor. Rakyat dapat memahami misi dan visi, mengikut perkembangan terkini projek dan inisiatif kerajaan serta menyuarakan pandangan dan maklum balas mereka,” katanya pada majlis pelancaran laman web itu hari ini.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan insentif kepada atlet-atlet Johor yang telah mengharumkan nama negeri pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial