WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Trend Pasangan Pilih 'Childfree' Membimbangkan - Noraini Ahmad

21/11/2024 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Trend pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak mempunyai zuriat atau childfree dilihat membimbangkan kerana boleh memberi kesan jangka panjang kepada struktur penduduk Malaysia, termasuk mempercepatkan proses negara menua.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata walaupun menyedari keputusan untuk tidak mempunyai zuriat adalah hak keluarga atau pasangan,  namun kerajaan sentiasa menggalakkan pasangan yang berkahwin untuk memiliki anak.

Noraini berkata kerajaan sentiasa menyediakan bantuan, persekitaran yang sihat dan kondusif bagi membantu pasangan berkahwin, antaranya subsidi yuran pengasuhan taska sebanyak RM180 seorang bagi anak berumur 4 tahun ke bawah kepada penjawat awam yang layak, selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah kepada RM7,000 bagi subsidi yuran pengasuhan.

“Kita menyedari alasan pasangan memilih childfree atas faktor kos sara hidup, komitmen kerjaya, memilik kebebasan peribadi dan kualiti hidup masa hadapan.

“Namun kerajaan melakukan pelbagai intervensi dan bantuan kepada pasangan berkahwin supaya mereka memilih untuk mempunyai anak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berhubung pendekatan kerajaan untuk meningkatkan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) berikutan kadar kesuburan negara menurun ekoran trend pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak atau childfree.

Menjawab soalan asal Zulkifli mengenai strategi kementerian dalam menggalakkan pasangan mempunyai atau menambah zuriat, Noraini berkata terdapat perkhidmatan rawatan kesuburan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ditawarkan, malah rawatan subfertiliti LPPKN berjaya merekodkan 6,150 kehamilan setakat Okt 2024.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan inisiatif khas untuk membantu meringankan beban kewangan bagi pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM10,000, selain pengeluaran wang caruman KWSP (Akaun 2) untuk rawatan kesuburan bermula 1 Sept 2020.

“Pada 2025 pula, LPPKN akan memperkenalkan program i-KASIH (Insentif Keluarga KASIH) yang menawarkan Subsidi bagi pembiayaan kos rawatan kaedah Intrauterine Insemination (lUl) Permanian Beradas kepada 1,300 pasangan berpendapatan kurang RM10,000,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan