WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penyelarasan Waktu Kerja Syif Jururawat Bersesuaian - Dzulkefly

21/11/2024 04:18 PM

PARIT, 21 Nov (Bernama) -- Perubahan waktu bekerja syif bagi jururawat adalah bersesuaian tertakluk di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan bermula pada 1 Dis ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata tempoh bekerja selama 45 jam seminggu ditetapkan melalui sistem itu secara dasarnya berkurang sebanyak satu jam berbanding 46 jam seminggu di bawah Perintah Am Bab G.

“Pada masa ini, jadual waktu bekerja syif di peringkat hospital sekitar 42 jam seminggu ini secara prinsipnya tidak mematuhi syarat semasa yang telah ditetapkan.

“Jadi, melalui SSPA kita tetapkan bahawa jururawat yang bekerja syif ini perlu bekerja 45 jam seminggu berbanding 46 jam seminggu yang ditetapkan di bawah Perintah Am Bab G, untuk penjawat awam yang bertugas syif,” kata beliau. 

Sebelum ini, timbul kebimbangan pertambahan waktu kerja jururawat dari 42 jam seminggu kepada 45 jam seminggu akan memberi kesan kepada fizikal dan mental.

Dalam pada itu, beliau berkata buat masa ini KKM sedang dalam proses penyusunan semula jadual waktu bekerja syif yang baharu mengikut keputusan yang telah ditetapkan.

“Ia turut melibatkan waktu bekerja anjal, iaitu bekerja 4-6 hari seminggu dengan 1-3 hari rehat, bergantung kepada agihan tugas dalam pasukan. 

“Waktu syif juga adalah antara 8-12 jam maksimum dengan waktu rehat, maka membolehkan petugas berehat secukupnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan