WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KK Tanjong Malim Terus Beroperasi Waktu Pejabat, Pertukaran Waktu Operasi Ikut Prosedur - Dzulkefly

21/11/2024 04:09 PM

PARIT, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memutuskan operasi kecemasan 24 jam Klinik Kesihatan Tanjong Malim tidak dikembalikan berikutan bercanggah dengan polisi serta fungsi sedia ada kemudahan terbabit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ini kerana terma kecemasan diguna pakai klinik berkenaan hanya boleh diperuntukkan kepada hospital yang memiliki kelengkapan fasiliti serta tenaga kerja.

“Kalau ikut garis panduan, klinik kesihatan tertakluk di bawah kesihatan awam. Fungsi kesihatan awam itu bukan untuk kecemasan tetapi di bawah bidang tugas hospital.

“Jadi, operasi klinik itu (Tanjung Malim) tetap akan berjalan seperti biasa dari 8 pagi hingga 5 petang. Cuma, selepas 5 petang jika ada yang memerlukan perkhidmatan, mereka diminta untuk mengaktifkan panggilan pasif di klinik itu khusus untuk penyakit biasa seperti sakit perut, demam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Hospital Seri Iskandar dan Pembinaan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung (Reka dan Bina) di sini hari ini.

Pada 18 Nov lepas, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak A. Sivanesan berkata isu berkenaan telah dibawa kepada KKM awal bulan lepas dan keputusannya akan dimaklumkan kerajaan negeri pada minggu depan.

Terdahulu, pertukaran operasi 24 jam di klinik itu kepada waktu pejabat sejak 1 Ogos lepas menimbulkan rasa kurang senang, khususnya kepada penduduk sekitar Tanjung Malim memandangkan mereka terpaksa ke Hospital Slim River yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari bandar itu untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas 5 petang.

Sementara itu, Zulkefly berkata bagi mana-mana pesakit yang ingin mendapatkan rawatan penyakit kronik seperti lemah jantung, strok dan sebagainya, panggilan 999 boleh diaktifkan untuk bantuan kecemasan.

“Melalui panggilan ini, kita akan sediakan sebuah ambulans untuk kegunaan membawa pesakit ke Hospital Slim River. Ini antara penambahbaikan yang kita buat untuk pastikan masalah ini dapat ditangani,” katanya.

Selain itu, katanya KKM akan melakukan sesi libat urus bersama penduduk di kawasan itu bagi memberi pemahaman dan penjelasan lanjut berhubung tindakan yang dilakukan terhadap klinik terbabit.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan