WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Selangor Kenal Pasti Kawasan Baharu Bangunkan Litar Lumba - Exco

21/11/2024 04:46 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor sedang mengenal pasti kawasan baharu bagi pembangunan kompleks litar lumba, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata ia susulan cadangan awal untuk membangunkan kemudahan itu di kawasan Sungai Tua, Gombak didapati tidak sesuai antaranya disebabkan kesan kepada alam sekitar dan kos yang tinggi.

Beliau berkata pihak perunding telah mengemukakan hasil kajian berdasarkan keluasan kawasan 16 hektar dengan anggaran jarak litar lumba yang dapat dibina hanya 2.25 kilometer.

“Jarak ini tidak dapat digunakan untuk perlumbaan drag kerana jarak lurus yang dapat dibina hanya sejauh 340 meter berbanding standard minimum dan keselamatan yang diluluskan ialah 600 meter. 

“Selain itu, terdapat aliran sungai di kawasan kajian yang berakhir di Empangan Batu dan jika kerja tanah dijalankan serta berlaku hujan, ia akan memberi kesan kepada air sungai, menjejaskan kebersihan dan menyebabkan gangguan bekalan air,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah melakukan kajian impak sosial dan alam sekitar terhadap cadangan kawasan yang ingin dibangunkan kompleks litar lumba di Selangor. 

Mengenai kesediaan kerajaan negeri untuk menaja atlet permotoran pada peringkat antarabangsa, Najwan berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan anak syarikat kerajaan negeri bagi tujuan berkenaan.

"Kita menilai daripada pelbagai segi cuma sukan permotoran ini kosnya agak tinggi, tetapi jika penajaan oleh anak-anak syarikat negeri kita boleh bincangkan … kita akan lihat kesesuaian dan kita bincang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan