WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Reaktor Triga Puspati Pacu Teknologi Nuklear, Lahirkan Saintis Masa Depan

16/11/2024 01:22 PM

PUTRAJAYA, 16 Nov (Bernama) -- Reaktor penyelidikan nuklear negara, Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) melakar kejayaan dalam penyelidikan dan pendidikan sekali gus kekal sebagai pusat melahirkan serta mendidik saintis masa depan.

Pengurus RTP Agensi Nuklear Malaysia Dr Julia Abdul Karim berkata RTP yang beroperasi sejak 1982 memberikan sumbangan besar kepada masyarakat dengan menyokong pembangunan sains nuklear dan aplikasi praktikalnya.

“Direka bentuk sebagai reaktor pelbagai guna, RTP membolehkan Malaysia membina kepakaran besar dalam penyelidikan neutron, pengeluaran radioisotop dan pelbagai aplikasi merentas pelbagai sektor termasuk perubatan, pertanian dan industri.

“RTP telah memainkan peranan penting dalam pembinaan kapasiti manusia, melatih penyelidik, jurutera dan juruteknik yang kini menjadi penyumbang utama kepada komuniti saintifik Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata sejak 2015 hingga kini, lebih 1,000 pelajar dari universiti tempatan dan antarabangsa telah menggunakan RTP untuk penyelidikan, latihan serta projek tesis.

“Mereka memperoleh pengetahuan praktikal yang telah melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran dalam sains dan teknologi nuklear,” katanya.

Sementara itu, Julia berkata RTP telah menyinari lebih 250,000 sampel daripada produk alam sekitar dan makanan kepada barangan pengguna untuk analisis. 

“Ini telah mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam penyelidikan dan memastikan kajian kritikal sejajar dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang sebelum ini dilaporkan berkata kementerian sedang melaksanakan Kajian Teknikal Pelan Penggantian RTP.

Chang berkata kajian berkenaan adalah sebahagian daripada strategi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030), dan bertujuan memperkukuh pembangunan teknologi nuklear di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan