WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pihak Berkepentingan Sektor Tenaga Asia Tenggara Fokus Kurangkan Pelepasan Metana

21/11/2024 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Petronas dan pihak berkepentingan lain dalam sektor tenaga di Asia Tenggara mengumumkan sektor itu berupaya memainkan peranan utama dalam usaha penyahkarbonan di rantau ini dengan menumpukan kepada pengurangan pelepasan metana.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menyeru pendekatan yang progresif, kolaboratif dan inklusif terhadap pelepasan metana dalam sektor tenaga sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga yang adil, yang meletakkan alam semula jadi, manusia, kehidupan dan mata pencarian di tengah-tengah tindakan iklim.

Kenyataan itu mengakui keperluan mendesak untuk tindakan iklim yang mampan dan percaya pencapaian yang penting untuk merealisasikan usaha peralihan tenaga yang lebih luas boleh dicapai menjelang 2030.

"Oleh itu, para penandatangan Kenyataan Bersama mengenai Penyahkarbonan dan Pengurangan Pelepasan Metana berikrar untuk menerima pakai inisiatif yang menyokong matlamat Perjanjian Paris sambil mengiktiraf setiap negara memerlukan pendekatan yang disesuaikan," kata kenyataan itu.

Pihak-pihak yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah Petronas, Kementerian Perlombongan dan Tenaga Kemboja, PT Pertamina (Persero), Myanma Oil and Gas Enterprise, Philippine National Oil Company, Singapore LNG Corporation Pte Ltd, PTT Public Company Limited dan Pusat Tenaga ASEAN (ACE) yang juga ahli Majlis ASEAN mengenai Petroleum (ASCOPE).

Para penandatangan berkata mereka komited untuk mewujudkan garis dasar pelepasan metana sektor minyak dan gas Asia Tenggara seawal 2025, seperti yang dimaklumkan oleh amalan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, diikuti dengan cita-cita pengurangan pelepasan metana kolektif yang boleh diukur menjelang 2030.

“Kami juga secara proaktif menyokong peralihan tenaga yang inklusif melalui dialog yang bermakna sejajar dengan aspirasi iklim yang ditetapkan oleh kerajaan untuk memacu pengurangan pelepasan yang disasarkan, ketara dan berskala mengambil kira kesan yang lebih luas daripada peralihan tenaga.

"Kami akan berkongsi amalan dan kemajuan mengenai penyahkarbonan dan pelepasan metana di rantau ini melalui ASCOPE," kata mereka.

Selain itu, para penandatangan menyasarkan untuk bekerjasama merentasi rantaian nilai tenaga di Asia Tenggara bagi memperjuangkan penyelesaian yang inovatif untuk pengurusan pelepasan metana, serta mengukuhkan pengukuran, pemantauan, pelaporan, pengesahan dan langkah-langkah mitigasi, yang mana ia boleh dilaksanakan.

“Selain daripada komitmen terhadap tindakan ini, para penandatangan juga menggalakkan rakan sejawat daripada seluruh ekosistem tenaga Asia Tenggara untuk menyertai usaha mereka bagi memimpin industri dan meletakkan rantau ini sebagai peneraju pengurangan pelepasan metana yang progresif,” kata kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama ini sejajar dengan Hala Tuju Pelepasan Karbon Sifar Bersih Menjelang 2050 Petronas, khususnya sasaran pengurangan pelepasan metana jangka pendek dan jangka sederhananya.

Syarikat minyak negara itu juga berikrar kepada Piagam Penyahkarbonan Minyak & Gas, Prinsip Panduan Metana, Program Kerjasama Minyak dan Gas Metana 2.0 daripada Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pembangunan Program Kepimpinan Metana.

Sehubungan itu, pelepasan metana daripada operasi rantaian nilai gas asli bagi seluruh kumpulan Petronas telah dikurangkan sebanyak 58 peratus pada 2023, berbanding sasaran pengurangan 50 peratus menjelang 2025.

Metana merupakan penyumbang kedua terbesar kepada pelepasan gas rumah hijau global (GHG) dan bertanggungjawab menghasilkan sekurang-kurangnya satu perempat daripada pemanasan global hari ini.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), sektor tenaga merupakan penyumbang utama pelepasan metana, menghasilkan lebih satu pertiga daripada pelepasan metana yang dikaitkan dengan aktiviti manusia.

Mengurangkan pelepasan metana daripada industri bahan bakar fosil adalah salah satu cara yang paling kos efektif untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, yang mana sekitar 40 peratus daripada pelepasan metana daripada bahan bakar fosil pada hari ini boleh dielakkan tanpa kos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan