WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Raja Maghribi, Putera Mahkota Terima Kunjungan Hormat Presiden China Di Casablanca

22/11/2024 02:52 PM

CASABLANCA, 22 Nov (Bernama-MAP) -- Raja Maghribi, Raja Mohammed VI dan Putera Mahkota Moulay El Hassan berkenan menerima kunjungan hormat Presiden China, Xi Jinping di Casablanca pada petang Khamis.

Menurut laporan Maghreb Arabe Press (MAP), sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Mohammed V di Casablanca, Presiden China dalam lawatan singkat itu disambut oleh Putera Mahkota Moulay El Hassan.

Xi kemudiannya bertemu dengan Perdana Menteri Maghribi Aziz Akhannouch sebelum memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada Detasmen Pengawal Diraja.

 Putera Mahkota dan Presiden China kemudiannya disambut oleh Wali wilayah Casablanca-Settat merangkap Gabenor Wilayah Casablanca, Mohamed Mhidia, Presiden Majlis Wilayah Casablanca-Settat, Abdellatif Maazouz, Gabenor Wilayah Nouaceur, Jalal Benhayoun, Presiden Majlis Wilayah Nouaceur, Mohammed Salmani, serta Presiden Majlis Perbandaran Nouaceur, Abdelaziz Radi.

Putera Mahkota dan Xi turut disambut oleh Duta Besar China ke Maghribi Li Changlin, Menteri Kaunselor di Kedutaan China Zhou Zhicheng, Atase Pertahanan di Kedutaan China Xia Kelin dan Kaunselor Ekonomi dan Perdagangan di Kedutaan China, Zheng Wei.

Di pintu masuk ke ruang istirahat VIP lapangan terbang, Presiden China yang diiringi delegasi termasuk Ahli Jawatankuasa Tetap Biro Politik merangkap Ketua Pengarah Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Cai Qi, Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat PKC merangkap Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pusat bagi Hal Ehwal Luar Wang Yi dan Naib Menteri Luar, Hua Chunying dijemput menghadiri upacara tradisional pemberian susu dan kurma.

Selepas berehat sebentar di ruang istirahat VIP, rombongan rasmi bergerak ke kediaman Presiden China di ibu kota ekonomi Kerajaan itu.

Lawatan itu mencerminkan hubungan persahabatan, kerjasama, dan perpaduan yang kukuh antara rakyat Maghribi dan China, hasil komitmen bersama Raja Mohammed VI dan Presiden Xi untuk memajukan perkongsian strategik China-Maghribi yang dimeterai semasa lawatan penting Raja Maghribi ke China pada Mei 2016.

-- BERNAMA-MAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan