WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pahang Rail Tourism 2024 Mampu Perkasa Sektor Pelancongan Negeri

22/11/2024 03:46 PM

LIPIS, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pahang optimis produk pelancongan baharunya, Pahang Rail Tourism 2024 mampu merancakkan dan memperkukuhkan sektor pelancongan negeri itu sekali gus menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara. 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata laluan kereta api di sepanjang Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus itu menawarkan zon pelancongan semula jadi dengan tarikan utamanya keindahan jajaran hutan yang panjang dan kaya dengan khazanah alam.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Tourism Pahang, Tourism Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) serta Unit Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus telah membangunkan satu produk pelancongan baharu yang unik dan berbeza iaitu Pahang Rail Tourism 2024.

“Antara lokasi menarik di sepanjang laluan kereta api ini ialah lokasi geo tapak iaitu Taman Negara Pahang Sungai Relau, Gua Sisik Naga, Gua Tahi Bintang, Bandar Kuala Lipis, Kuala Sungai Lipis dan Taman Eko Rimba Kenong yang dimasukkan sebagai salah satu pakej atau produk pelancongan yang wajib dikunjungi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Pahang Rail Tourism di Stesen Keretapi Lipis di sini hari ini. 

Beliau berkata kereta api kini dilihat bukan lagi sekadar pengangkutan, tetapi menjadi sebahagian daripada produk pelancongan yang mampan dan mesra alam.

“Keunikan laluan ini yang menghubungkan destinasi-destinasi bersejarah dan semula jadi mampu menarik lebih ramai pelancong untuk memahami sejarah serta warisan negeri Pahang sambil menikmati keindahan alamnya,” katanya.

Pada enam bulan pertama tahun ini, beliau menyatakan statistik kedatangan pelancong ke Pahang adalah kira-kira 5.9 juta, melibatkan pelancong dalam dan luar negara dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM5.3 bilion.

Wan Rosdy yakin dengan produk baharu itu, jumlah kedatangan pelancong akan meningkat, sekali gus dapat membantu penduduk setempat mencipta peluang ekonomi baharu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan