WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MTL: Kerajaan Kelantan Minta Orang Ramai Elak Lakukan Aktiviti Luar

22/11/2024 04:11 PM

KOTA BHARU, 22 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti-aktiviti luar susulan musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata ia berikutan ketika ini, cuaca di Kelantan tidak menentu dan hujan.

"Sebagai pesanan, memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, elakkan sementara aktiviti-aktiviti sebegini. Waspada dengan keadaan semasa untuk kemudahan dan kebaikan semua pihak. Insya-Allah," katanya dalam hantaran Facebook rasminya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kelantan Mohd Adzhar Mujab berkata aktiviti luar boleh mendatangkan risiko tinggi di tempat-tempat bahaya yang sukar untuk diberi tindak balas awal.

"Cuaca tidak menentu ini sebenarnya menyukarkan perjalanan pergi ke tempat itu, namun jika terlalu mustahak, kita minta maklumkan kepada pihak berkuasa atau keselamatan terdekat.

"Kalau melihat pada cuaca di negeri ini, Kelantan mula mengalami hujan berpanjangan di sebelah Pantai Timur, oleh itu mana-mana pihak yang ingin menganjurkan aktiviti luar termasuk rombongan mereka, perlu bijak menilai cuaca dan lokasinya," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Adzhar berkata orang ramai juga diminta melihat ramalan kaji cuaca daripada agensi teknikal dan nasihat pihak berkuasa agar lebih berhati-hati dengan situasi semasa.

Sementata itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di Kota Bharu termasuk di Melor dan Panji, Kampung Lubok Nibong Pak Badol di Bachok, Kampung Jerus, Sungai Kelong di Pasir Puteh dan Masjid Pulai Chondong, Machang telah dinaiki air yang menyebabkan banjir kilat berikutan hujan tidak berhenti sejak semalam sehingga sekarang.

Selain itu, beberapa jalan darat juga terputus di sekitar Kota Bharu dan Pasir Puteh ekoran air bertakung.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan