WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2025 Berjumlah RM940.223 Juta, Defisit Terendah Dalam Sejarah Pulau Pinang

22/11/2024 06:23 PM

GEORGE TOWN, 22 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow  hari ini membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM940.223 juta bagi perbelanjaan mengurus dengan anggaran defisit terendah dalam sejarah negeri iaitu RM33.63 juta. 

Chow berkata saiz Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Ekonomi MADANI, Rakyat Diperkasa, Negeri Sejahtera' itu, berkurang RM106.78 juta berbanding Belanjawan 2024 iaitu RM1.047 bilion.

Beliau berkata pengurangan 10.19 peratus ini dilihat realistik dan membawa mesej yang jelas bahawa kerajaan negeri memilih pendekatan pragmatik berbanding idealistik dalam memikirkan kelangsungan fiskal negeri pada jangka masa panjang. 

"Perbelanjaan yang dikurangkan dalam Belanjawan 2025 adalah perbelanjaan tidak berkanun dan menstrukturkan semula agihan peruntukan yang melibatkan program Jawatankuasa MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri), pemberian geran mengurus kepada agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.

"Walaupun begitu, pengurangan Belanjawan 2025 tidak merencatkan momentum pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Gurney Bay, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), projek rancangan tebatan banjir (RTB) dan naik taraf jalan-jalan negeri," katanya ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan kutipan RM906.59 juta sebagai hasil negeri 2025 dengan pecahan hasil cukai sebanyak RM223.65 juta, hasil bukan cukai (RM570.41 juta) dan terimaan bukan hasil (RM112.53 juta).  

Secara perbandingan, Chow berkata anggaran hasil negeri 2025 menunjukkan peningkatan RM373.51 juta atau melebihi 70 peratus berbanding anggaran hasil negeri 2024 iaitu RM533.08 juta. 

"Langkah drastik ini membuktikan iltizam kerajaan negeri untuk melipatgandakan usaha meningkatkan kutipan hasil negeri 2025. Menerusi komitmen semua jabatan negeri, kerajaan negeri optimis sasaran kutipan hasil tersebut dapat direalisasikan.

"Dengan mengambil kira anggaran hasil negeri sebanyak RM906.59 juta berbanding anggaran perbelanjaan sebanyak RM940.22 juta, Belanjawan 2025 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Pulau Pinang iaitu RM33.63 juta," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan