WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Cadangan Pendekkan Waktu Bekerja Tidak Jejas Produktiviti Sektor Awam - CUEPACS

22/11/2024 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk melaksanakan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah tidak akan menjejaskan produktiviti sektor awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat berkata, malah cadangan pelaksanaan memendekkan waktu bekerja itu selari dengan usaha kerajaan untuk mempertingkatkan produktiviti dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya dalam memperkasakan perkhidmatan digital.

“Cadangan perubahan waktu bekerja itu tidak seharusnya dilihat daripada sudut negatif kerana ia sebenarnya telah dilaksanakan sebelum ini. Pada 1 Jan 2023 kerajaan melalui Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) telah menetapkan tempoh waktu bekerja dikurangkan kepada 45 jam seminggu berbanding 48 jam seminggu sebelum itu.

“Pengurangan waktu bekerja itu sedikit pun tidak menjejaskan produktiviti di semua sektor pekerjaan, termasuklah sektor awam kerana pelbagai langkah telah diambil dan diselaraskan untuk memastikan kualiti produktiviti terus ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata menerusi proses dan sistem teratur yang akan dilaksanakan kelak, CUEPACS yakin waktu bekerja yang pendek akan membawa kepada peningkatan produktiviti kerana para pekerja berasa bersemangat dan dihargai.

Seterusnya Adnan menyatakan bahawa kebanyakan negara maju telah memendekkan waktu bekerja dan langkah itu tidak langsung menjejaskan produktiviti sumber manusia di negara berkenaan, antaranya Iceland yang mengurangkan waktu kerja daripada 40 jam kepada 35 jam seminggu.

“Pekerja dapat menikmati hidup yang lebih sihat, bekerja tanpa tekanan dan seterusnya diterjemahkan dengan meningkatkan produktiviti pekerjaan.

“Usaha ini secara tidak langsung dapat mencapai keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan pekerja di samping tidak menjejaskan produktiviti yang ditetapkan majikan,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi semasa membentangkan Belanjawan Johor 2025 berkata Kerajaan Negeri Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada empat hari setengah susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Sementara itu, Adnan berkata pihaknya juga yakin kerajaan tidak akan melaksanakan perubahan waktu bekerja sektor awam tanpa membuat kajian serta penelitian lanjut terlebih dahulu.

Beliau berkata kerajaan juga telah memulakan beberapa strategi untuk meningkatkan kualiti sektor awam dengan memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, mempercepatkan pendigitalan dan memberi penekanan kepada tadbir urus yang baik.

“Cuepacs yakin melalui langkah pendigitalan kerajaan di samping agenda mereformasi perkhidmatan awam melalui aspirasi Malaysia MADANI tidak akan menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Semua pihak perlu terbuka kepada langkah penambahbaikan kualiti kehidupan pekerja untuk mereka menikmati keseimbangan dalam pekerjaan serta kehidupan dan dalam pelaksanaan hal ini, majikan seharusnya telah bersedia dalam memastikan pelaksanaannya tidak memberi impak yang sebaliknya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan