WILAYAH - SABAH > BERITA

Labuan Connect! 2024 Inisiatif Perintis Transformasi Digital

23/11/2024 10:40 AM

LABUAN, 23 Nov (Bernama) -- Inisiatif perintis Labuan Connect! menandakan pencapaian penting bukan sahaja untuk Labuan tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhan dalam meningkatkan transformasi digital dalam kalangan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin berkata program berkenaan mencerminkan komitmen untuk meningkatkan transformasi digital bagi memperkasakan komuniti, memupuk inovasi dan memacu kemajuan yang bermakna.

"Bagi pihak Bernama, sukalah saya berkongsi bahawa kami sentiasa percaya kepada kekuatan maklumat dan teknologi untuk membentuk masyarakat selain memastikan mereka saling berhubung.

"Misi kami bukan sahaja untuk menyampaikan berita yang tepat dan pantas, sebagai sumber berita yang diyakini, tetapi juga berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan dan kemajuan," katanya pada pelancaran Labuan Connect! 2024 di Kampung Patau-Patau 1 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin.

Beliau berkata sebagai rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi penganjuran Labuan Connect!, Bernama membantu kejayaan program itu menerusi pelbagai inisiatif termasuk menampilkan kisah dan pencapaian masyarakat Labuan dalam memasuki era transformasi digital ini.

"Ia bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keterangkuman, inovasi dan amalan digital yang selamat.

"Serta bagi memperkasakan suara rakyat Labuan, khususnya belia, usahawan dan pembuat perubahannya, untuk bergema di seluruh negara dan merentas sempadan.

“Kami memanfaatkan semua platform, kepakaran dan sumber kami bagi memastikan liputan yang berimpak bagi inisiatif ini, mempamerkan Labuan sebagai hab untuk inovasi dan kemajuan,” katanya.

Nur-ul Afida berkata Bernama juga akan menyediakan platform untuk dialog dan kerjasama sekali gus membolehkan pihak berkepentingan dan masyarakat bertukar-tukar pandangan dan idea.

Beliau juga menekankan kepentingan memberi inspirasi dan mendidik menerusi penceritaan yang menarik sekali gus menonjolkan kuasa transformatif teknologi digital.

"Matlamat ini selaras dengan satu daripada peranan utama BERNAMA iaitu menjadi "jambatan" yang menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Labuan, Sabah dan Sarawak, memupuk perpaduan, persefahaman bersama dan keharmonian nasional.

Nur-ul Afida turut menggalakkan masyarakat Labuan untuk merebut peluang yang ditawarkan menerusi program berkenaan.

"Marilah kita bersama-sama membina masa depan di mana setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan, mempunyai peluang untuk maju dalam era transformasi digital.

Beliau turut menggesa pihak berkepentingan untuk terus bekerjasama, berinovasi dan melabur dalam inisiatif seperti Labuan Connect! yang mampu mengubah kehidupan dan membentuk masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan