WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pendekatan Global PM Anwar Perkukuh Kedudukan Diplomatik Dan Ekonomi Malaysia

23/11/2024 03:29 PM

Oleh Nabilah Saleh and Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Pendekatan diplomatik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini di Mesir, Brazil dan platform global lain telah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam mengimbangi hubungan antara kuasa Global Selatan dan Barat.

Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat, berkata dasar luar Malaysia yang berpegang kepada sikap tidak berpihak kini semakin mendapat momentum apabila negara memperluas hubungan ekonomi dan diplomatiknya.

“Malaysia sentiasa teguh dengan pendekatan dasar luar yang tidak berpihak dan bebas menentukan orientasi serta hala tuju dasar luarnya.

“Orientasi terkini dengan momentum yang dicapai baru-baru ini jelas menunjukkan usaha meningkatkan kapasiti alternatif melalui kepelbagaian perdagangan dan ekonomi, dengan fokus yang lebih besar terhadap negara Global Selatan sambil mengekalkan hubungan ekonomi serta keupayaan pertahanan dengan negara Barat,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Anwar mengakhiri lawatan antarabangsa selama 11 hari yang merangkumi penyertaan dalam platform pelbagai hala seperti Sidang Kemuncak Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi; Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Lima, Peru; dan Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sepanjang lawatan Anwar ke Timur Tengah dan Amerika Latin, Chong berkata Malaysia terus berusaha memainkan peranan yang lebih besar di luar pendekatan konvensional yang berpusatkan ASEAN.

“Langkah ke Timur Tengah dan Amerika Latin ini dilihat sebagai kesinambungan usaha Malaysia untuk memainkan peranan lebih besar di peringkat antarabangsa, melangkaui skop dan batasan pengaruh kuasa serantau,” tambahnya.

Langkah ini juga selaras dengan kerangka Madani, yang bertujuan mengintegrasikan peralihan ekonomi Malaysia dengan kemajuan masyarakat.

“Usaha ini adalah sebahagian daripada momentum keseluruhan untuk meningkatkan fokus sejajar dengan peralihan ekonomi Malaysia, termasuk tumpuan terhadap ekonomi digital, peralihan tenaga, serta peranan Malaysia sebagai pengimbang dan penstabil kuasa,” katanya, sambil menambah bahawa inisiatif ini bertujuan menjadikan negara sebagai hab pelaburan dan industri berteknologi tinggi.

Dalam kepimpinan ASEAN, Chong secara khusus menekankan bahawa hasil pertemuan baru-baru ini dijangka memberikan kelebihan diplomatik kepada Malaysia.

“Penetapan agenda baharu serta pelan tindakan dan dasar konstruktif, afirmatif dan praktikal yang dijanjikan akan menjadi penting dalam memastikan Malaysia tidak hanya dilihat sebagai kuasa vokal dan sedang muncul dalam mengetengahkan cabaran serta isu strategik serantau dan global, tetapi juga pragmatik dan berani dalam mereka bentuk pendekatan serta penyelesaian baharu,” katanya.

Menurut penganalisis ini, pendekatan itu turut merangkumi perspektif ASEAN sambil memperluas kerjasama dengan rantau seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Kesatuan Eropah (EU).

“Ini dilakukan melalui usaha merapatkan hubungan dengan GCC untuk memperluas peranan dan capaian ASEAN di peringkat lebih luas, selain hubungan tradisional dengan EU dan kuasa besar lain,” tambahnya.

Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah (AEI) UM Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers turut sependapat, dengan menyatakan bahawa lawatan rasmi Perdana Menteri baru-baru ini ke beberapa negara utama dan penyertaan dalam sidang kemuncak antarabangsa menunjukkan kesediaan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya di pentas global.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai “diplomasi ulang-alik” untuk memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala Malaysia, sekali gus mencerminkan pendekatan proaktif dalam memajukan kepentingan negara.

“Anwar mengamalkan ‘diplomasi ulang-alik’ untuk meningkatkan kepentingan negara secara dua hala dengan melawat negara berkaitan dan mengukuhkan komitmen kita terhadap multilateralisme melalui penyertaan dalam APEC dan Sidang Kemuncak G20,” katanya kepada Bernama.

Roy Anthony menambah bahawa inisiatif Perdana Menteri itu juga dilihat sebagai persediaan untuk Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025.

“Lawatan ini pastinya membantu mempromosikan kepentingan Malaysia, termasuk dalam aspek ekonomi dan perniagaan, diplomasi, suara yang didengari dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan