WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Johor Negeri Terbaru Dilanda Banjir

23/11/2024 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Perak pulih sepenuhnya manakala Terengganu, Melaka dan Kelantan tidak menunjukkan banyak perubahan.

JOHOR pula menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Batu Badak, Segamat, 2 petang tadi, dengan menempatkan 11 orang daripada empat keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam satu kenyataan berkata dua sungai di daerah Tangkak iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor serta Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada.

Di TERENGGANU, sebanyak 250 orang mangsa masih berlindung di tujuh PPS setakat 8 malam berbanding 398 orang 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan Marang adalah daerah paling terjejas dengan 195 orang daripada 37 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu Dewan Sivik Wakaf Tapai, Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Dewan Sivik Mercang dan SK Pengkalan Berangan.

Di Hulu Terengganu, 21 mangsa daripada lapan keluarga berada di PPS Masjid Hadhari Tok Randok manakala di Dungun, 37 mangsa daripada sembilan keluarga berada di PPS Balai Raya Alor Mak Bah dan SK Tok Kah.

Menurut portal InfoBanjir, paras air Sungai Chalok di Jambatan Chalok (F2), Setiu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu telah melepasi paras amaran, manakala Sungai Marang di Jambatan Pangkalan Berangan dan Jambatan Pangkalan Berangan (F2) berada pada paras waspada.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 231 orang daripada 64 keluarga setakat 8 malam berbanding 264 orang daripada 71 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan 181 mangsa ditempatkan di PPS SK Tanjung Minyak 2, PPS Kompleks Japerun Pantai Kundur (35) dan PPS SK Taman Bukit Rambai (15).

Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaparkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok kekal 40 orang daripada 11 keluarga malam ini.

Berdasarkan maklumat menerusi portal InfoBanjir, setakat 8 malam, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan paras 8.73 meter, melebihi paras amaran 8 meter.

Di PERAK, satu-satunya PPS di Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama yang menempatkan 68 orang daripada 23 keluarga pagi tadi telah ditutup sepenuhnya petang tadi, menurut kenyataan Sekretariat JPBN Perak.

Bagaimanapun, Jabatan Meterologi Malaysia meramalkan hujan melanda semua daerah di Perak pada malam ini antaranya di daerah Larut, Matang dan Selama; Kerian; Manjung; Perak Tengah; Hulu Perak; Bagan Datuk; Hilir Perak; Kuala Kangsar; Kinta; Kampar; Batang Padang dan Muallim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan